
United terlepas layak ke kejohanan kelab berprestij itu selepas tumpas kepada Tottenham Hotspur pada final Liga Europa minggu lalu. Pasukan yang menang kejohanan itu layak automatik ke Liga Juara-juara musim depan.
Amorim, bersama barisan pemainnya kini berada di Malaysia untuk menentang pasukan Asean All-Stars dalam Piala Cabaran Maybank, esok, berkata tidak bermain dalam Liga Juara-juara ‘mungkin memberi kelebihan untuk beraksi dengan baik’.
“(Ia memberi kami kelebihan) untuk melakukan persiapan lebih baik bagi perlawanan (dalam saingan domestik) dan membina teras pasukan yang kami perlukan untuk masa hadapan.
“Jadi, ia baik dan kami akan menjadikannya sebagai kelebihan,” katanya pada sidang media.
Hadir sama, pemain tengah United, Mason Mount, Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Events Group Julian Kam, Presiden Persekutuan Bolasepak Asean Khiev Sameth, dan Presiden Bolasepak Malaysia (FAM) Joehari Ayub.
Amorim berkata, tanpa kelibat dalam Liga Juara-juara, United tidak memerlukan ‘skuad yang besar’.
“Kami boleh mengawal skuad ini dengan lebih baik.”
Namun, Amorim mengelak apabila ditanya sasarannya bagi musim depan. Katanya, setakat ini sasarannya adalah menang perlawanan pertama.
Apabila menyentuh Manchester United, ramai menjangkakan pasukan berada ‘tahap tertinggi’.
“Tetapi, kami memahami konteksnya. Jadi, saya tidak mahu pasukan memikirkan mengenai sasaran terlalu besar. Hanya sasaran kecil (di mana) menang perlawanan pertama,” katanya sambil menambah masih banyak perlu dilakukan kelab itu sepanjang musim panas ini.