Ada cubaan eksplotasi waris anggota FRU, dedah KP Perak

Ada cubaan eksplotasi waris anggota FRU, dedah KP Perak

Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin berkata peguam dilantik untuk mewakili kesemua waris dan anggota terbabit bagi mengelak eksploitasi terhadap pampasan mereka.

Noor Hisam Nordin
Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin turut meminta waris dan anggota FRU terbabit tidak berhubung dengan pihak tidak dikenali dan hanya melalui peguam.
GERIK:
Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin mendedahkan terdapat cubaan pihak tertentu untuk mengeksploitasi dan memanipulasi waris anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam insiden kemalangan mengorbankan sembilan anggota itu di Teluk Intan, 13 Mei lepas.

Beliau berkata sehubungan dengan itu pihaknya melantik peguam bagi mewakili kesemua waris dan anggota terbabit, bertujuan mengelak berlaku eksploitasi terhadap pampasan serta sumbangan kepada mereka.

Noor Hisam berkata waris dan anggota FRU juga diminta tidak berhubung dengan pihak tidak dikenali, sebaliknya hanya melalui peguam yang telah dilantik.

“Kita nampak ada cubaan menangguk di air keruh. Kita tak boleh cerita secara spesifik tetapi apa yang dimaklumkan adalah hal kewangan dan perundangan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Gerik di IPD Gerik di sini hari ini.

Insiden berdarah yang berlaku pada 8.54 pagi membabitkan pertembungan trak FRU dengan lori muatan batu itu turut menyebabkan lima anggota pasukan berkenaan cedera parah manakala empat lagi cedera ringan.

Selain itu, Noor Hisam berkata khidmat kaunseling membabitkan waris serta anggota yang terlibat dalam kemalangan itu akan terus diberi penumpuan dan diselaraskan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

Beliau berkata peranan yang dimainkan jabatan berkenaan adalah untuk memulihkan emosi waris dan anggota supaya dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

“Di bawah JIPS ini ada Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA), terdapat kaunselor terlatih yang terus memberi kaunseling kepada waris dan anggota. Kita tak tinggalkan mereka, sebaliknya semua aspek dijaga rapi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.