
Ketua Penerangan PKR Sabah Razeef Rakimin membidas rakan sejawatannya dalam Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Anuar Ghani, atas kritikannya terhadap Nurul Izzah, dengan berkata ia tidak berasas dan semata-mata bertujuan mengeksploitasi MA63.
Razeef mempersoalkan dakwaan Anuar bahawa Nurul Izzah cuba menggugat MA63 dengan mencadangkan jumlah kerusi untuk ditandingi PKR.
Katanya, sasaran 13 kerusi itu termasuk dalam unjuran ditetapkan oleh PKR Sabah, yang menurutnya telah diberi kuasa autonomi dalam perihal rundingan kerusi.
“Untuk makluman, bukan sahaja PKR, malah Pakatan Harapan (PH) memberikan autonomi kepada pimpinan di Sabah dalam isu rundingan kerusi,” katanya dalam kenyataan.
“PH kini pada peringkat akhir rundingan sebelum memulakan rundingan dengan rakan gabungan lain sama ada GRS mahupun BN (Barisan Nasional).”
Semalam, Nurul Izzah menyuarakan harapan agar Presiden PKR Anwar Ibrahim, mengadakan rundingan dengan parti-parti komponen PH serta parti sekutu lain bagi membolehkan PKR bertanding sekurang-kurangnya 13 kerusi pada PRN Sabah akan datang.
Beliau turut menyeru ahli-ahli parti dari semua negeri untuk bersatu padu menyokong gabungan itu dan berkempen secara aktif bagi PRN Sabah.
Awal hari ini, The Borneo Post melaporkan Anuar mendakwa, kenyataan Nurul Izzah itu merupakan ‘cabaran langsung’ terhadap autonomi politik Sabah dan menggugat semangat MA63.
Pemimpin STAR itu juga mengkritik tindakan menggerakkan jentera pilihan raya dari negeri lain ke Sabah, mendakwa ia ‘menceroboh dan tidak menghormati’ rakyat Sabah.
Menyangkal dakwaan ini, Razeef berkata, tindakan menggerakkan jentera dari seluruh negara bagi PRN bukan sesuatu yang asing, tambahan bagi parti nasional seperti PKR.
“Maka tidak ada istilah Sabah dijadikan tapak bagi menguji jentera kerana jentera PKR telah teruji sejak 26 tahun lalu,” katanya.
Tambahnya, sasaran 13 kerusi itu bukanlah sesuatu yang tidak realistik meskipun PKR Sabah pada masa ini hanya mempunyai dua kerusi. Hujahnya, parti itu telah memberi laluan kepada Warisan untuk bertanding di beberapa kerusi pada PRN 2020, ketika kedua-dua parti itu masih rakan sekutu.
Ketua PKR Tuaran berkata, rakyat Sabah sendiri yang akhirnya akan memutuskan nasib calon-calon yang bersaing bagi 73 kerusi yang dipertandingkan.
“Oleh itu, STAR tiada hak untuk menentukan sama ada rakyat perlu sokong parti tempatan seperti STAR yang tiada hala tuju jelas atau menyokong parti nasional yang jelas perjuangan serta hala tuju yang kini dipimpin oleh perdana menteri.”