Profesional pun boleh jadi ulama PAS, kata penganalisis

Profesional pun boleh jadi ulama PAS, kata penganalisis

Azmi Hassan berkata cadangan jawatan presiden dan timbalan presiden PAS harus di kalangan agamawan mungkin harus diubah, mengambil kira konteks semasa.

muktamar pas
PAS dijangka mengadakan pemilihan memilih barisan pimpinan untuk penggal seterusnya pada September depan.
PETALING JAYA:
Naratif jawatan presiden dan timbalan presiden PAS harus di kalangan agamawan mungkin tidak lagi sesuai masa kini, kata penganalisis mengulas isu dibangkitkan setiap kali pemilihan parti itu.

Azmi Hassan berkata gesaan Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah yang menyuarakan cadangan itu mungkin relevan dua dekad lalu, namun kini PAS perlu keluar dari kepompongnya terutama dalam usaha menjadi pemerintah.

Azmi Hassan.

“Orang profesional juga boleh menjadi ulama dan membuat keputusan mengikut syariah Islam,” kata felo Majlis Profesor Negara itu kepada FMT sambil menjelaskan persepsi lama menyebabkan wujud pandangan PAS tidak boleh mentadbir secara sendiri.

Menurut Azmi, PAS perlu menepis persepsi seperti itu dan mengambil iktibar daripada ‘penyingkiran’ golongan profesional, 10 tahun lalu yang membawa kepada penubuhan Amanah.

“PAS boleh buka ruang pentadbiran kepimpinan tertinggi ini kepada golongan profesional yang saya anggap mempunyai pengetahuan agama setanding ulama,” katanya.

abdul hadi awang tuan ibrahim tuan man
Hadi Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man yang termasuk dalam kelompok ulama menang tanpa bertanding bagi dua jawatan tertinggi sejak 2017. (Gambar Bernama)

Khamis lalu, lidah rasmi PAS, Harakah Daily melaporkan kenyataan Amar supaya jawatan presiden dan timbalan wajar diamanahkan kepada tokoh berpendidikan agama.

Menurutnya, perkara itu perlu bagi memastikan kelangsungan perjuangan Islam dalam parti.

Beliau yang juga Adun Panchor turut menyeru perwakilan membuat pilihan bijak demi kesinambungan gerakan Islam yang menjadi tunjang PAS sejak awal penubuhannya.

Hadi Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man yang termasuk dalam kelompok ulama menang tanpa bertanding bagi dua jawatan tertinggi sejak 2017.

Lau Zhe Wei
Lau Zhe Wei.

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berkata cadangan Amar itu mungkin tidak membawa perubahan kepada PAS dan memperlihatkannya eksklusif untuk orang Islam sahaja.

“PAS akan tetap sama seperti dulu.

“Parti itu juga kena jawab sama ada PAS hanya nak jadi parti orang Islam sahaja? Kalau ya, sukar hendak tarik sokongan bukan Islam,” katanya.

PAS dijangka mengadakan pemilihannya pada September depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.