PRN lagi 2 tahun, MB Johor nafi DUN bubar awal

PRN lagi 2 tahun, MB Johor nafi DUN bubar awal

Onn Hafiz Ghazi berkata penggal pentadbiran kerajaan negeri hanya akan berakhir pada April 2027.

dun johor
Penggal DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi hanya akan berakhir pada April 2027. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata PRN tidak akan dibuat lebih awal berikutan penggal pentadbiran kerajaan negeri hanya akan berakhir pada April 2027.

Beliau berkata, terdapat tempoh dua tahun lagi bagi kerajaan negeri memberikan tumpuan penuh kepada pembangunan ekonomi dan infrastruktur untuk rakyat.

“Ini bukan musim pilihan raya, penggal pentadbiran hanya akan tamat pada April 2027, ada dua tahun lagi jadi seperti dititahkan Pemangku Sultan Johor untuk kita fokus pembangunan negeri Johor.

“Marilah kita cari titik persamaan agar kerjasama dapat dicapai dan bukannya mencari titik perbezaan antara kita sehingga boleh menyebabkan perpecahan berlaku,” katanya pada sesi penggulungan persidangan DUN Johor hari ini, menurut Berita Harian.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih dengan komitmen dan akhlak ditunjukkan Adun pelbagai parti politik pada sidang berkenaan.

“Kita berbeza parti dan ideologi politik, namun saya dapat rasakan keharmonian di sidang DUN Johor ini.

“Saya akan laporkan kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bahawa semua Ahli Dewan menjunjung tinggi keharmonian dan menunjukkan semangat muafakat tinggi.

“Johor mesti jadi Johor, kita mesti menjadi contoh. Marilah kita dengar bukan sahaja dengan telinga tetapi juga dengan hati dan jiwa. Jangan hanya bercakap untuk direkodkan sebaliknya bercakaplah untuk menyelesaikan isu rakyat,” katanya.

Terdahulu, beberapa pemimpin politik mendakwa PRN Johor mungkin diadakan seawal tahun depan sehingga wujud desakan supaya Barisan Nasional (BN) negeri menyatakan pendirian sama ada akan bergerak solo atau bekerjasama.

Pada PRN Johor lalu, BN memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga dengan menawan 40 daripada 56 kerusi DUN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.