KPM siasat video tular guru malukan murid

KPM siasat video tular guru malukan murid

Menteri Fadhlina Sidek berkata perkara itu membabitkan integriti dan etika guru.

cikgu marah budak
Rakaman video tular menunjukkan seorang murid dimalukan dan dimarahi guru di kantin sekolah.
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) menyiasat video tular memaparkan seorang murid didakwa dimalukan dan dimarahi guru di hadapan rakannya sehingga memberi kesan emosi kepada kanak-kanak itu.

Menteri Fadhlina Sidek berkata, beliau mengarahkan Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan memperhalusi perkara itu dengan lebih serius kerana ia membabitkan integriti dan etika guru, lapor Berita Harian.

Katanya, perkara itu juga amat dikesali kerana rakaman berkenaan turut tersebar dan memberi impak besar kepada masyarakat.

“Guru sentiasa diingatkan dari semasa ke semasa mengenai integriti dan etika sebagai penjawat awam walau apa juga isu yang terjadi.

“Saya juga yakin dan percaya ada ruang lebih selamat dan bersifat privasi untuk memastikan apa saja perbincangan dan isu dapat diselesaikan secara baik,” katanya.

Semalam, tular video memaparkan seorang murid sekolah rendah dimarahi guru di kantin sekolah sehingga menyebabkan kanak-kanak itu menangis.

Video itu dipercayai dirakam seorang lagi guru sebelum dikongsi kepada ibu murid berkenaan.

Fadhlina berkata, KPM sudah berkali-kali mengingatkan guru mengenai garis panduan sedia ada dan mematuhi etika serta integriti baik di dalam atau luar kelas dan media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.