Kes Pamela Ling: Tiada bukti sokong desas-desus ahli politik terbabit

Kes Pamela Ling: Tiada bukti sokong desas-desus ahli politik terbabit

Siasatan polis setakat ini tidak temui bukti menyokong desas-desus kemungkinan pembabitan ahli politik.

pamela ling
Pamela Ling hilang selepas diminta hadir bagi bantu siasatan di bawah Akta SPRM dan AMLATFPUAA.
PETALING JAYA:
Polis tidak temui bukti yang menyokong desas-desus kemungkinan pembabitan ahli politik di sebalik kehilangan Pamela Ling, yang hilang dalam perjalanan ke SPRM.

Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Isa memaklumkan siasatan setakat ini merekodkan 47 percakapan, termasuk daripada tiga anak Pamela di Singapura.

“Tak ada menjurus ke arah itu,” katanya lapor Berita Harian, kepada pemberita di Bukit Aman.

Polis sekali lagi menyangkal lima suspek disyaki terbabit dalam kehilangan Pamela adalah anggota polis.

“Kita tak cakap pun anggota polis. Siapa yang cakap anggota polis?” katanya, dan menambah usaha mengesan mereka sidang giat dijalankan.

Wanita itu dilaporkan hilang pada 9 Apr lalu, ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menaiki kenderaan e-panggilan.

SPRM memaklumkan bahawa Pamela, 42, diminta hadir bagi membantu siasatan di bawah Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

SPRM membuka siasatan ke atas dia dan suaminya, Thomas Hah, pada Mei tahun lalu atas dakwaan rasuah dan kesalahan pengubahan wang haram.

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata Pamela bukan suspek dan SPRM tidak memanggilnya dengan niat untuk menahannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.