
Tan Kok Ho, 43, dan Denise Tan, 47, membuat pengaku itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.
Mengikut pertuduhan, dua lelaki itu dituduh menggunakan sebagai tulen suatu dokumen palsu iaitu notis saman hadir yang menyerupai notis rasmi polis, sedangkan mereka mengetahui dokumen itu adalah palsu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di parkir Pavilion Bukit Bintang pada 11 Mei lalu.
Dua lelaki itu juga didakwa di mahkamah berasingan di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan kerana melakukan kesalahan sama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Mei.
Untuk kedua-dua kes, mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal dan Syafika Azwa Fikri, manakala tertuduh diwakili peguam Phang Soon Mun dan Darren Ee.
Peguam tertuduh juga merayu mahkamah menetapkan ikat jamin yang rendah kerana kedua-dua tertuduh perlu menyara keluarga masing-masing selain perlu menjaga anak yang masih kecil dan ibu bapa yang sudah tua.
Illi Marisqa membenarkan masing-masing diikat jamin RM2,500 manakala Atiqah menetapkan ikat jamin RM3,500 untuk setiap tertuduh dengan seorang penjamin.
Kedua-dua mahkamah menetapkan 2 Julai ini untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.