
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Rahmad Mariman, berkata ia selepas serbuan mendapati peralatan dapur dipersijilkan halal turut digunakan dalam majlis membabitkan alkohol itu.
Menurutnya, sijil halal itu ditarik serta-merta selepas pemantauan mendapati bekas alkohol digunakan bersama peralatan dapur yang sepatutnya hanya untuk penyediaan makanan halal.
“Tindakan ini diambil mengikut Klausa 32(3)(a)(ii) Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia Domestik 2020 (MPPHM 2020).
“Berdasarkan aduan diterima, pemeriksaan mendapati memang pesta alkohol sedang berlangsung.
“Pihak hotel turut mengakui penganjuran majlis tersebut, maka kami mengambil keputusan menarik balik sijil halal yang dimiliki sejak lima tahun lalu,” katanya menurut Sinar Harian selepas perhimpunan bulanan kerajaan negeri di Ayer Keroh.
Timbalan pengerusi Majlis Agama Islam Melaka itu berkata, 30 hotel di Melaka memiliki sijil halal dan Jaim akan terus memantau bagi mengelakkan penyalahgunaan sijil berkenaan.
Beliau berkata, dua hotel terbabit dibenarkan memohon semula sijil halal dalam tempoh tiga bulan, tetapi tertakluk pematuhan semua syarat.
“Jika kita berpuas hati, sijil halal boleh diberikan semula. Diharapkan tindakan tegas seperti ini akan memberi keyakinan kepada orang ramai untuk mengunjungi premis memiliki sijil halal di Melaka.”