
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor berkata, kejadian berlaku ketika kerja penambakan tanah dijalankan pada 3.55 petang kelmarin.
Menurutnya, seorang lelaki tempatan bertugas sebagai “banksman” atau “signalman” memberi arahan kepada pemandu lori “tipper” untuk mengundurkan kenderaan bagi menurunkan muatan tanah.
“Pekerja itu dipercayai berada di kawasan titik buta (blind spot) semasa lori mengundur, lalu terjatuh dan digilis tayar lori,” katanya menurut Harian Metro.
JKKP Selangor berkata, mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Susulan itu, JKKP Selangor mengarahkan majikan terbabit menghentikan segera aktiviti penambakan tanah di tapak pembinaan berkenaan.
Menurutnya, notis larangan (NOP) turut dikeluarkan kepada majikan kerana gagal memastikan keselamatan persekitaran ketika kerja penambakan tanah dan kawalan pergerakan lori.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan pihak bertanggungjawab mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.