Johor kaji turun umur belia kepada 16 tahun

Johor kaji turun umur belia kepada 16 tahun

Exco Johor berkata dengan memperkenalkan umur belia pada 16 tahun remaja berpeluang menyertai persatuan sekali gus memastikan ia mempunyai pelapis yang ampuh.

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Hairi Mad Shah dalam sambutan Hari Belia Negara 2025 peringkat negeri sempena Program Madani Rakyat 2025 Johor.
JOHOR BAHRU:
Johor bercadang memperkenalkan had minimum umur belia seawal 16 tahun, bagi memberi pendedahan awal kepada remaja berkaitan alam selepas persekolahan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah, berkata dengan memperkenalkan umur belia pada 16 tahun, remaja berpeluang menyertai persatuan sekali gus memastikan persatuan belia mempunyai pelapis yang ampuh.

“Kerajaan Johor sedang dalam kajian untuk kita memperkasakan lagi belia kita, pelapis-pelapis bermula daripada umur 16 tahun.

“Bila 16 tahun, mereka telah bermula pupuk semangat berpersatuan, mereka tidak terkejut dengan budaya berpersatuan setelah mereka keluar daripada alam persekolahan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Belia Negara 2025 peringkat negeri sempena Program Madani Rakyat (PMR) 2025 Johor di Toppen Shopping Centre.

Hairi berkata, sesi libat urus bersama Jabatan Pendidikan, Majlis Belia dan agensi berkaitan akan diadakan, bagi membincangkan perkara itu yang dijangka selesai dalam masa terdekat.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan belum bersedia menurunkan had umur belia kepada 30 tahun daripada 40 seperti akan dikuatkuasakan di peringkat kebangsaan tahun depan dan akan meneliti perkara tersebut secara mendalam.

PMR dianjurkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (Pacu), sebagai sebahagian usaha berterusan kerajaan bawah kerangka Malaysia Madani untuk membawa perkhidmatan kerajaan secara langsung kepada rakyat di negeri terpilih.

PMR 2025 Johor dianjurkan dengan tema ‘Belia Madani, Yakin Boleh!’ selama tiga hari bermula Jumaat, membariskan lebih 100 perkhidmatan secara langsung disediakan agensi kerajaan persekutuan dan Johor.

Kementerian Belia dan Sukan bertindak sebagai peneraju bagi PMR 2025 Johor manakala kerajaan negeri tuan rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.