Umno tak tamak jawatan menteri, kata Zahid selepas pemilihan PKR

Umno tak tamak jawatan menteri, kata Zahid selepas pemilihan PKR

Presiden Umno berkata partinya tidak mahu campur tangan dalam urusan parti lain.

Presiden Umno Zahid Hamidi berkata partinya bersyukur mempunyai tujuh menteri dalam Jemaah Menteri, tetapi Umno ‘menadahkan sebuah padang bola’ jika ditawarkan jawatan menteri.
PETALING JAYA:
Umno tidak tamak untuk jawatan menteri jika berlaku kekosongan selepas dua menteri tewas pemilihan PKR semalam, kata Presidennya, Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri itu berkata, Umno tahu batas dan tidak mahu campur tangan dalam urusan parti lain.

“Kalau jawatan itu mahu diberikan kepada Umno, kita menadahkan sebuah padang bola untuk menerima tawaran itu, tetapi itu kuota (PKR).

“Jadi, saya tidak fikir Umno begitu tamak untuk memohon jawatan itu diberikan kepada Umno. Kita bersyukur kerana ada tujuh menteri Umno dalam barisan Jemaah Menteri,” katanya menurut Berita Harian selepas merasmikan Eastern International TVET di Kuantan.

Zahid yakin Perdana Menteri dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim akan melakukan yang terbaik bagi memastikan kerajaan serta Jemaah Menteri dapat terus berfungsi dengan baik.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad tewas dalam pemilihan PKR semalam.

Rafizi sebelum ini menyuarakan kesediaannya meletak jawatan menteri jika gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR.

Rafizi hanya mendapat 3,866 undi berbanding 9,803 undi diraih Nurul Izzah Anwar.

Dalam perkembangan lain, Zahid mengucapkan tahniah kepada Nurul Izzah yang memenangi jawatan timbalan presiden PKR serta pemenang lain untuk jawatan empat naib presiden, Majlis Pimpinan Pusat, Wanita dan Pemuda.

“Semoga ia dapat mempereratkan jalinan hubungan antara PKR dengan Umno melalui Barisan Nasional.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.