Profesor AS bidas dasar Trump halang Harvard terima pelajar antarabangsa

Profesor AS bidas dasar Trump halang Harvard terima pelajar antarabangsa

Jeffrey Sachs berkata tindakan menghalang pelajar antarabangsa daripada memasuki institusi itu akan memusnahkan teras kemakmuran Amerika.

Harvard University
Universiti Harvard memfailkan saman terhadap pentadbiran Donald Trump dan mendakwa larangan terhadap pelajar asing sebagai satu pelanggaran terang-terangan terhadap perlembagaan Amerika Syarikat. (Gambar Wikipedia)
PETALING JAYA:
Ahli ekonomi dari Amerika Syarikat (AS) Jeffrey Sachs mengkritik tindakan pentadbiran Donald Trump melarang pelajar antarabangsa mendaftar di Universiti Harvard, institusi Ivy League tertua dan paling berprestij di Amerika Syarikat.

“Amerika Syarikat semalam telah menghalau pelajar asing dari Universiti Harvard. Ini bukan jenaka, ini tidak masuk akal,” kata Sachs, profesor di Universiti Columbia, New York, dan presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB.

“Ia adalah tindakan memusnahkan diri sendiri yang tidak dapat difahami kecuali dari sudut psikologi.

“Ini tindak balas, rasa dendam, pencerobohan dan keangkuhan yang akan memusnahkan teras kemakmuran (Amerika),” katanya dalam pembentangannya di forum “ASEAN dalam peralihan kuasa global” yang dianjurkan oleh Kumpulan Sunway semalam.

Sachs juga mengaitkan langkah luar biasa oleh Presiden Trump ini dengan ‘Revolusi Budaya Amerika’.

Beliau membandingkannya dengan Revolusi Budaya China yang dilancarkan Mao Zedong pada tahun 1966 dan berlangsung sehingga kematiannya pada tahun 1976.

“Revolusi budaya tidak pernah membawa hasil yang baik. Ia telah melumpuhkan China selama 20 tahun,” katanya.

Dalam satu wawancara bersama Hindustan Times, Sachs menyatakan Revolusi Budaya disifatkan satu ‘tempoh malapetaka bagi China’, menyebabkan universiti ditutup dan ekonomi dalam keadaan kacau-bilau.

“Pentadbiran Trump sedang menyerang universiti. Kononnya atas dasar anti-Semitisme di institusi (elit) ini.

“Itu satu dakwaan yang melucukan dan menyedihkan. Keseluruhan idea itu sangat tidak masuk akal,” kata Sachs yang juga bekas pelajar dan profesor di Harvard.

Universiti itu dan kerajaan AS telah bertelagah selama beberapa bulan apabila pentadbiran Trump menuntut perubahan dalam operasi kampus.

Pentadbiran Trump dikatakan menumpukan kepada pelajar dan kakitangan asing dipercayai terlibat dalam protes kampus berhubung perang Israel-Hamas.

Khamis lalu, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Kristi Noem mengumumkan sijil program pelajar dan pertukaran Harvard telah dibatalkan serta-merta. Keadaan itu menjejaskan ribuan pelajar antarabangsa yang perlu berpindah ke institusi lain atau berdepan pengusiran.

Noem menuduh Harvard ‘menggalakkan keganasan, anti-Semitisme, dan bersekongkol dengan Parti Komunis China”.

Harvard membalas dengan mengemukakan saman keesokan harinya, dengan menyatakan tindakan itu sebagai ‘pelanggaran terang-terangan’ terhadap perlembagaan AS.

Seorang hakim persekutuan di Massachusetts kemudiannya mengeluarkan perintah sementara menghalang Rumah Putih daripada membatalkan kelayakan Harvard untuk mendaftar pelajar asing, yang dianggarkan berjumlah 27% daripada populasi pelajar atau kira-kira 6,700 pelajar.

Sokongan Malaysia terhadap Harvard

Kelab Harvard Malaysia menyatakan sokongan padu terhadap institusi itu susulan langkah mengejutkan pentadbiran Trump.

“Kami menyokong sepenuhnya pendirian Harvard dan menegaskan komitmen kami terhadap keterbukaan, pencarian ilmu, dan khidmat – prinsip yang bukan sahaja mendefinisikan Harvard, tetapi juga peranan kekal kami dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Timbalan Presidennya Krishnavenee Krishnan pula berkata persatuan itu prihatin terhadap pelajar Malaysia di universiti terbabit.

“Mereka tidak sepatutnya dirampas peluang untuk menerima pendidikan bertaraf dunia dan menyumbang pada tahap dunia,” katanya.

Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah dari Perikatan Nasional (PN) turut mengkritik keputusan itu dan menyifatkannya sebagai ‘tidak bertamadun’.

Bekas timbalan menteri pengajian tinggi itu turut menggesa Putrajaya segera berhubung dengan pelajar Malaysia di Harvard dan universiti lain di AS bagi memastikan kebajikan mereka terjamin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.