Pemilihan buktikan budaya ‘cai’ dalam PKR kian luntur?

Pemilihan buktikan budaya ‘cai’ dalam PKR kian luntur?

Keputusan pemilihan menunjukkan peralihan daripada undian blok, di mana akar umbi cenderung memilih merit berbanding elit parti, kata orang dalam.

NURUL IZZAH ANWAR - KONGRES PKR - PERSADA JOHOR
Walaupun mendapat sokongan lebih 200 bahagian di seluruh negara, kem Timbalan Presiden PKR baharu, Nurul Izzah Anwar tidak meraih kemenangan mutlak dalam pemilihan parti kali ini.
JOHOR BAHRU:
Pengaruh budaya “cai” atau aturan kepimpinan yang telah lama wujud semakin luntur dalam PKR susulan pemilihan terbaharunya menyaksikan Nurul Izzah Anwar menyingkirkan penyandang Rafizi Ramli untuk jawatan timbalan presiden.

Walaupun mendapat sokongan lebih 200 bahagian di seluruh negara, kem Nurul Izzah tidak meraih kemenangan mutlak.

Dua daripada sekutu Rafizi dipilih sebagai naib presiden, menunjukkan peralihan daripada pengundian blok dan menandakan kecenderungan akar umbi memilih merit berbanding kesetiaan kepada elit parti.

“Ini petanda jelas pendekatan ‘cai’ tidak lagi berfungsi. Ahli berfikir secara bebas dan kami lihat hasilnya,” kata orang dalam parti itu yang enggan dinamakan.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, menteri persekutuan Chang Lih Kang dan Ahli Parlimen Sungai Buloh R Ramanan menang empat jawatan naib presiden bagi penggal 2025-2028.

Amirudin dan Ramanan – kedua-duanya sehaluan dengan Nurul Izzah – memperoleh 7,955 serta 5,985 undi.

Chang dan Aminuddin, calon pilihan Rafizi, masing-masing mendapat 5,757 serta 5,889 undi.

Kekalahan Rafizi, yang telah lama menyuarakan kebimbangan terhadap integriti proses pemilihan PKR, menyusul kekalahan sekutunya dalam pemilihan di peringkat bahagian – trend yang didakwanya bukti manipulasi sistemik dan struktur pengundian cacat.

Tetapi, orang dalam itu berkata, walaupun Rafizi tidak menang, “bukan semua sekutunya kalah” dan “itu menandakan sistem terbabit tidak dimanipulasi”.

Pemilihan PKR turut menyaksikan rombakan ketara dalam Majlis Pimpinan Pusat, dengan beberapa tokoh lama dan terkemuka tersingkir daripada senarai 20 teratas.

Mereka yang kalah termasuk David Cheong, Romli Ishak, Saifuddin Shafee, Fahmi Zainol, Yahya Mat Sahri, Tan Kar Hing dan Onn Abu Bakar.

“Ahli akar umbi menamatkan pakatan lama dan menghantar mesej tiada jawatan yang kekal. Ia kembali ke permulaan untuk semua orang,” kata orang dalam itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.