
Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) mengecam tindakan kejam lelaki itu kerana ia pelanggaran serius bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
“SAFM menggesa saksi segera tampil membuat laporan polis serta laporan kepada Perhilitan supaya tindakan tegas dapat diambil tanpa kompromi.
“SAFM juga menuntut Perhilitan mengambil tindakan segera dan menyeluruh dalam menyiasat kes ini, serta memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan demi menegakkan keadilan dan memberi amaran keras terhadap sebarang bentuk penderaan haiwan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam video seminit menunjukkan seorang lelaki menyembur cat ke arah seekor monyet dalam sangkar.
Seksyen 86 Akta 716 memperuntukkan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
SAFM menegaskan tiada ruang untuk kezaliman terhadap hidupan liar di Malaysia dan ia akan terus memantau perkembangan kes ini.