
Dalam catatan di Facebook, Rafizi yang dalam usaha mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR menjelaskan beliau hanya bercuti selama empat hari untuk bertemu akar umbi selepas menerima rungutan mengenai keputusan peringkat cabang.
“Saya tidak pernah mendraf surat meletak jawatan atau menyatakan tidak akan bertanding. Alasan yang diberikan konon Nurul Izzah (Anwar) masuk bertanding untuk menyelamatkan parti akibat kekosongan jawatan adalah tidak benar.
“Saya juga tidak pernah berkemas untuk mengosongkan pejabat. Pejabat saya masih kekal bersepah dengan fail-fail hingga hari ini.
“Selepas bercuti selama empat hari untuk berjumpa akar umbi, saya kekal menjalankan tugas menteri seperti biasa,” katanya mengulas laporan Nurul Izzah mendakwa surat peletakan jawatan menteri yang disediakan oleh Rafizi mendorong beliau bertanding jawatan timbalan presiden.
Dalam perutusan kempen terakhirnya kepada perwakilan PKR sebelum pemilihan, Nurul Izzah berkata, beliau berada di India untuk satu persidangan apabila menerima berita bahawa Rafizi mengambil cuti daripada tugasnya sebagai menteri ekonomi dan mengosongkan pejabatnya di Putrajaya.
Beliau berkata, pucuk pimpinan parti juga dimaklumkan mengenai surat peletakan jawatan menteri yang disediakan Rafizi.
Katanya, perkara itu menimbulkan kebimbangan bahawa Rafizi mungkin tidak mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR, sekali gus menambahkan keresahan tentang potensi kekosongan kepimpinan.
Mengulas perkara itu, Rafizi mempersoalkan tindakan Nurul Izzah yang tidak menghubunginya untuk mendapatkan pengesahan, seperti sering dilakukannya pada 2021 dan 2022 ketika mahu memujuk Ahli Parlimen Pandan kembali aktif dalam PKR ke arah persediaan PRU 2022.
Malah, Rafizi berkata beliau sudah membuat pengumuman terlebih dahulu untuk mempertahankan jawatan sebelum Nurul Izzah menyatakan hasrat bertanding.
“Jika benar Nurul Izzah bimbangkan kekosongan jawatan timbalan presiden, saudara Saifuddin boleh sahaja bertanding sebagai timbalan,” katanya merujuk Setiausaha Agung Pakatan Harapan, Saifuddin Nasution Ismail.