Skandal 1MDB: Goldman dakwa Leissner buat ‘pembohongan bersiri’

Skandal 1MDB: Goldman dakwa Leissner buat ‘pembohongan bersiri’

Tim Leissner yang akan dijatuhkan hukuman menyalahkan 'budaya' Goldman Sachs yang berperanan dalam penipuan itu ketika menggambarkan jenayahnya.

Tim Leissner
Kerajaan AS memohon hukuman ringan apabila bekas pengerusi Goldman Sachs Asia Tenggara Tim Leissner dijatuhi hukuman minggu depan berhubung jenayah berkaitan skandal 1MDB. (Gambar fail)
NEW YORK:
Goldman Sachs berkata, pegawai bank dalam skandal dikaitkan dengan dana pelaburan 1MDB Malaysia, terlibat dalam ‘pembohongan bersiri’ dan penipuan, beberapa hari sebelum dia dijadual untuk dijatuhkan hukuman.

Dalam surat kepada hakim Amerika Syarikat (AS), firma itu berkata bahawa Tim Leissner, bekas pengerusi Asia Tenggara bank terbabit, tidak pernah mengambil bertanggungjawab atas tindakannya dalam penipuan berbilion dolar yang menjatuhkan kerajaan Malaysia.

Surat itu dibuat selepas kerajaan AS memohon hukuman ringan apabila Leissner dijatuhkan hukuman minggu depan.

Peguam am bank itu, Kathryn Ruemmler, menulis bahawa cubaan Leissner untuk menyalahkan industri kewangan atas jenayahnya adalah ‘menghina orang di bawahnya yang benar-benar mematuhi undang-undang dan memberi fokus terhadap motivasi sebenar jenayah Leissner, iaitu tamak’.

Leissner, yang mengaku bersalah pada 2018 atas peranannya dalam menggelapkan berbilion-bilion daripada 1MDB, menjadi saksi utama kerajaan AS. Pendakwa raya berkata keterangannya penting kepada sabitan salah seorang rakan sekerjanya di Goldman dan denda USD2.9 bilion (RM12.5 bilion) terhadap bank itu, yang terbesar pernah berlaku dalam kes rasuah asing.

“Leissner menghabiskan masa bertahun-tahun menggunakan ‘syarikat cengkerang’ luar pesisir, akaun emel peribadi dan peranti peribadi untuk terlibat dalam jenayah, mengelak pengesanan dan meletakkan Goldman Sachs berisiko dalam proses itu,” tulis Ruemmler dalam surat itu, yang difailkan di Brooklyn, New York, semalam.

Leissner, 53, berdepan hukuman penjara sehingga 25 tahun selepas tumpuan kepada skandal kewangan global yang membawa kepada siasatan di enam negara. Sebagai sebahagian daripada penipuan itu, dia mengakui bahawa mengaut USD73.4 juta daripada 1MDB dan USD80 juta lagi daripada Jho Low, ahli perniagaan dalam buruan merupakan dalang penipuan itu.

Henry Mazurek, peguam Leissner, berkata bahawa ‘keberanian Goldman Sachs dalam surat kepada mahkamah hari ini adalah mengejutkan.”

“Anak guam saya menghabiskan beberapa tahun lepas bekerjasama dengan Jabatan Kehakiman (DoJ) untuk mendedahkan budaya korporat dan ketamakan institusi yang menyemarakkan tingkah laku yang merosakkan projek 1MDB,” kata Mazurek dalam satu kenyataan.

Goldman dan jurucakap pendakwa AS enggan mengulas.

Individu berkuasa

Pendakwa raya berkata dalam pemfailan mahkamah mereka sendiri bahawa Leissner terus membantu dengan penyiasatan AS yang tidak dikenal pasti ke atas ‘jenayah lain,’ sebagai tambahan kepada kes 1MDB.

“Leissner memberikan maklumat mengenai peranan individu berkuasa dalam skim global untuk merasuah pegawai kerajaan di dua negara dan mengalihkan berbilion dolar ke dalam akaun bank di seluruh dunia,” kata pendakwa raya dalam pemfailan awal bulan ini.

Tetapi bank itu membalas bahawa ‘dari perspektif Goldman, usaha Leissner dalam hal ini layak mendapat sekatan, bukan pujian.’

Pada 2020, Goldman, yang memperoleh USD600 juta daripada transaksi 1MDB, menandatangani perjanjian pendakwaan tertunda dengan AS dan unit Malaysia, mengaku bersalah melanggar undang-undang anti-rasuah AS.

Bank pelaburan yang berpangkalan di New York itu berkata dalam surat pada Khamis bahawa ia tidak ‘memberi perhatian secukupnya dan meneliti wakil pasukan perjanjian tertentu.’

Dalam pemfailannya sendiri, Leissner berkata bahawa dia sepatutnya terlepas daripada hukuman penjara. Menurutnya, dia memberikan bukti penting terhadap bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak, syeikh Abu Dhabi dan Goldman dan memberi AS pelan hala tuju kepada skim pengubahan wang haram yang rumit di 1MDB.

“Saya tahu betapa teruknya jenayah saya,” kata Leissner dalam surat kepada hakim. “Dalam proses memberitahu kerajaan dan dunia tentang 1MDB, saya terpaksa berdepan hakikat bahawa saya telah membantu mencuri berbilion dolar bukan sahaja daripada individu, tetapi dari seluruh negara.”

Apabila dia mengaku bersalah pada Ogos 2018, Leissner menyalahkan ‘budaya’ Goldman yang memainkan peranan dalam penipuan itu apabila dia menggambarkan jenayahnya.

“Semasa konspirasi itu, saya berkomplot dengan pekerja dan ejen Goldman Sachs yang lain sejajar dengan budaya Goldman Sachs untuk menyembunyikan fakta daripada pematuhan tertentu dan pekerja sah Goldman Sachs, termasuk Jho Low,” katanya di mahkamah.

Leissner masih boleh menghadapi tindakan undang-undang di Malaysia. Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata awal bulan ini bahawa Malaysia telah mengemukakan permintaan ekstradisi untuk penahanan Leissner dengan Jabatan Kehakiman AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.