Nga jemput Azam minum teh berbaur keangkuhan, kata bekas pemimpin MCA

Nga jemput Azam minum teh berbaur keangkuhan, kata bekas pemimpin MCA

Ti Lian Ker menyifatkan kenyataan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu sebagai satu bentuk salah guna kuasa.

ti lian ker nga kor ming
Bekas naib presiden MCA, Ti Lian Ker berkata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming perlu dedahkan kajian kebolehlaksanaan yang dibuat sebelum laksana projek MyKiosk 2.0.
PETALING JAYA:
Bekas naib presiden MCA, Ti Lian Ker menyifatkan rancangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menjemput ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk minum teh bagi membincangkan isu berkaitan MyKiosk 2.0 sebagai angkuh dan satu bentuk salah guna kuasa.

Ti berkata kenyataan Nga itu sebagai ‘secara terang-terangan dan angkuh menunjukkan kedudukan serta kuasa’.

“Apabila seseorang yang memegang jawatan tinggi kerajaan menjemput individu yang bertanggungjawab mengawasi kerajaan untuk minum teh, ia memberi bayangan bahawa pegawai itu boleh ‘dijinakkan’, tunduk kepada kuasa, atau isu yang dibangkitkan boleh disenyapkan,” katanya kepada FMT.

“Kenyataan seperti itu memberi gambaran buruk dan negatif terhadap pentadbiran yang memperjuangkan tadbir urus yang bersih.

“Ini juga satu penganiayaan kepada Azam Baki, yang memegang jawatan sensitif dan sepatutnya dilihat sebagai individu yang bebas secara terbuka,” katanya kepada FMT, merujuk kepada ketua pesuruhjaya SPRM itu.

Ti berkata kenyataan Nga itu boleh memberi kesan buruk dan negatif terhadap persepsi awam mengenai hasil siasatan terhadap projek MyKiosk.

Katanya, jika SPRM membersihkan kementerian daripada sebarang salah laku, orang ramai kini akan mempersoalkan sama ada siasatan itu dilakukan ‘di bawah tekanan atau kerana takut dan memihak’ akibat sesi minum teh itu.

“Nga telah beri sebab kepada orang ramai untuk mungkin meragui integriti siasatan itu,” katanya, sambil menambah ia juga memberi gambaran bahawa menteri itu dilindungi dan ‘kebal’.

Ti turut mempersoalkan sama ada kajian kebolehlaksanaan dijalankan sebelum projek itu dilaksanakan, dan berkata jika ia dibuat, Nga seharusnya mendedahkan butiran kajian itu bagi menunjukkan kebertanggungjawaban seperti yang beliau dijanjikan.

Katanya, mendedahkan dapatan kajian itu akan membantu menjelaskan keadaan, meredakan kebimbangan dan menangkis pengkritik dengan lebih berkesan.

“Daripada membuat serangan murahan terhadap MCA, Nga seharusnya bergantung kepada fakta dan menunjukkan tadbir urus yang baik untuk menutup mulut pengkritik,” kata Ti.

Selasa lalu, Nga dilaporkan menjemput Azam ke pejabatnya untuk minum teh dan menyatakan kementeriannya terbuka untuk disiasat oleh badan antirasuah itu.

Sebelum ini timbul dakwaan salah laku berkait projek MyKiosk susulan dakwaan kerajaan membayar RM25,000 hingga RM34,000 bagi setiap kios, sedangkan harga pasaran hanya RM12,800 seunit.

Nga sejak itu berkata angka RM25,000 itu mengelirukan kerana ia termasuk kos panel solar, kipas, dapur, pengangkutan, pemasangan, dan penyediaan tapak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.