Najib fail prosiding hina mahkamah terhadap bekas AG

Najib fail prosiding hina mahkamah terhadap bekas AG

Tindakan itu susulan kegagalan Ahmad Terrirudin Salleh dedah titah adendum benar Najib Razak jalani hukuman bawah tahanan rumah.

najib razak Ahmad Terrirudin Salleh
Peguam Najib Razak memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa titah adendum benar Najib jalani hukuman penjara bawah tahanan rumah diserahkan istana Pahang kepada peguam negara ketika itu Ahmad Terrirudin Salleh (kanan) pada 29 Jan 2024.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Najib Razak memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas peguam negara, Ahmad Terrirudin Salleh.

Dalam satu kenyataan, pasukan guaman beliau, Tetuan Shafee & Co, permohonan itu difailkan pada 21 Mei lalu.

Mereka mendakwa Terrirudin, ketika menjawat jawatan peguam negara, gagal mendedahkan wujudnya titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya bawah tahanan rumah.

Menurut pasukan peguam Najib, salinan titah tersebut disampaikan kepada Najib menerusi anaknya, Nizar, dan kesahihannya disahkan secara bertulis oleh Majlis Kesultanan Pahang pada 4 Jan.

Mereka mendakwa dokumen itu secara langsung ditujukan kepada Terrirudin, sekali gus menunjukkan bahawa beliau mengetahui kewujudan perintah tersebut.

Walaupun didakwa mengetahui perkara itu, peguam Najib berkata Terrirudin mengarahkan pegawainya menyatakan kepada mahkamah bahawa perkara itu hanyalah satu spekulasi, bersifat ‘fishing
expedition’ dan berasaskan keterangan dengar cakap.

“Sebagai seorang penjawat awam, bekas peguam negara mempunyai kewajipan terus-terang (duty of candour) kepada mahkamah.

“Kegagalan sengaja untuk berbuat demikian menjejaskan keyakinan awam terhadap sistem keadilan dan malah merupakan satu halangan terhadap keadilan itu sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, mereka turut mengakui sensitiviti prosiding tersebut dan menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi, agar mahkamah menentukan perkara itu mengikut proses keadilan yang sewajarnya.

Semasa pendengaran pada Januari lalu, peguam utama Najib, Shafee Abdullah, memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa titah adendum itu dihantar oleh pihak istana kepada Terrirudin pada 29 Jan 2024.

Terrirudin, yang dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada November lalu, sebelum ini mengelak daripada menjawab pertanyaan wartawan mengenai titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dari Pahang.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa titah adendum itu diterima oleh Terrirudin tetapi berkata ia telah dikembalikan kepada Istana Negara selepas Sultan Ibrahim ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Najib memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi menguatkuasakan titah adendum itu, namun semua prosiding digantung sementara menunggu keputusan rayuan Peguam Negara di Mahkamah Persekutuan.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 2 Feb tahun lalu mengumumkan bahawa hukuman penjara Najib dalam kes SRC International dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Bekas perdana menteri itu kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.