Nahas 5 kenderaan termasuk trak tentera, 6 cedera

Nahas 5 kenderaan termasuk trak tentera, 6 cedera

Trak tentera laut hilang kawalan dalam perjalanan balik dari Masjid Al Ehsan Temonyong menuju ke Resort World Langkawi.

kemalangan langkawi
Trak tentera laut membawa 25 petugas dengan dua daripadanya mengalami kecederaan di kaki.
PETALING JAYA:
Enam cedera dalam nahas lima kenderaan termasuk lori tentera laut, berhampiran Simpang Tiga Jalan Teluk Baru di Langkawi.

Keseluruhannya, terdapat 30 mangsa terlibat.

Komander Hadapan Bilik Gerakan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima’25) Bomba Kedah, Ahmad Aminuddin Abd Rahim, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 3 petang tadi sebelum tiba di lokasi lima minit kemudian.

“Bilik Gerakan Lima menerima panggilan kecemasan melalui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) darat yang memaklumkan berlaku kemalangan jalan raya melibatkan lima kenderaan iaitu lori tentera laut dan empat kereta.

“Terdapat 30 mangsa yang terlibat iaitu lima lelaki dan satu wanita mengalami kecederaan. Seorang daripada mangsa mengalami kecederaan di bahagian tengkuk,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, lebih 40 pegawai dan anggota dari polis, tentera laut, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Kementerian Kesihatan (KKM) turut membantu operasi berkenaan.

Sementara itu, tentera laut dalam kenyataan, memaklumkan trak tiga tan yang membawa petugas Demonstrasi Segmen Maritim Lima’25 telah hilang kawalan dan terbabas semasa dalam perjalanan balik selepas selesai mengerjakan solat Jumaat di Masjid Al Ehsan Temonyong menuju ke Resort World Langkawi.

“Tiada kemalangan jiwa dialami dan semua 25 petugas yang terlibat dibawa ke bilik perubatan Segmen Maritim untuk menerima rawatan awal, manakala dua petugas dibawa ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk menerima rawatan lanjut akibat kecederaan di kaki.

“Tentera laut akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Langkawi Shariman Ashari mengesahkan kejadian dan laporan lanjut berhubung kejadian akan dimaklumkan kelak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.