Takkan ada perpecahan dalam PKR selepas pemilihan, kata Fahmi

Takkan ada perpecahan dalam PKR selepas pemilihan, kata Fahmi

Ketua penerangan PKR berkata, parti ada cara tersendiri menyantuni calon tewas.

Fahmi Fadzil
Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata, dalam tempoh sebulan dua selepas pemilihan, pimpinan akan turun ke cabang-cabang negeri untuk rapatkan saf, eratkan semula silaturahim.
JOHOR BAHRU:
Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil yakin tidak akan berlaku sebarang perpecahan dalam parti pasca pemilihan peringkat pusat esok.

Fahmi juga percaya, perjalanan proses pengundian yang akan bermula 8 pagi hingga 5 petang itu akan berjalan tanpa sebarang insiden pergaduhan atau perkara tidak diingini.

Katanya, ini dapat disaksikan pada situasi pemilihan pada peringkat cabang pada April lepas, yang juga berjalan tanpa sebarang insiden pergaduhan atau kerosakan harta benda.

“Jadi saya jangka … proses pemilihan kali ini kita harapkan lebih baik, dan tidak berlaku lagi kejadian paling buruk seperti di Melaka (pemilihan PKR 2022), sebaliknya kita akan peroleh perpaduan dan bersatu hati,” kata menteri komunikasi itu.

“Malah kawan-kawan di akar umbi pun saya temui seperti ketika di Langkawi (Kedah), kami duduk semeja biarpun kumpulan berbeza, namun rata-rata mahu parti bersatu-padu untuk bersama beri kekuatan pada Presiden PKR (Anwar Ibrahim) untuk laksana reformasi pada peringkat persekutuan.”

Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sesi taklimat kepada media mengenai proses perjalanan Kongres Nasional PKR dan pemilihan peringkat pusat.

Sesi itu turut dihadiri Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Dr Zaliha Mustafa.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, parti mempunyai cara tersendiri untuk menyantuni calon yang tidak berjaya mendapat tempat dalam pemilihan parti bagi sesi 2025-2028.

“Saya percaya selepas pemilihan ini dalam tempoh sebulan dua, pimpinan akan turun ke cabang-cabang negeri untuk rapatkan saf, eratkan semula silaturahim,” katanya.

“Parti sentiasa fikir cara untuk kumpul, rangkum dan dibawa bersama seluruh kekuatan, dan akan disediakan ruang dan peluang, mungkin jawatan atau fungsi tertentu (kepada calon tewas) supaya semua yang bertanding masih boleh bersama parti, sumbang idea dan tenaga terutama pada peringkat pusat.”

Ditanya mengenai proses pemilihan yang akan melibatkan keseluruhan 32,030 pengundi secara fizikal dan dalam talian, Fahmi berkata, beliau berpuas hati dengan persiapan dilakukan.

“Saya sudah melawat dua lokasi pemilihan dan satu lokasi kongres, saya lihat kita sudah bersedia, namun ada beberapa aspek termasuk capaian internet serta ruang yang disediakan untuk rakan-rakan media perlu diperkemas untuk pastikan mereka tidak hadapi apa-apa masalah.

“Untuk aspek penambahbaikan itu, kita sudah minta kepada beberapa penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi pastikan semua perkara sepanjang proses pemilihan itu tiada gangguan,” katanya.

Ditanya mengenai ucapan dasar presiden yang juga Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi menyempurnakan perasmian Kongres Nasional PKR 2024/2025 malam esok, Fahmi berkata, aspek penyatuan parti antara perkara yang beliau percaya akan disentuh.

“Mesej yang saya percaya akan disampaikan (presiden) juga adalah bagaimana kita perlu satukan parti setiap kali selepas pemilihan,” katanya.

“Juga akan semestinya menyentuh perihal pentadbiran negara, usaha kita membawa agenda reformasi pada peringkat persekutuan, apakah kejayaan-kejayaan dan cabaran-cabaran dihadapi termasuk masalah melibatkan perang dagang tarif dan perkara-perkara seperti itu.”

Kongres Nasional PKR 2024/2025 bermula malam ini dengan perasmian serentak kongres Pemuda dan Wanita Pusat oleh Fuziah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.