Superkomputer termaju AI bakal dilancar suku ketiga tahun ini

Superkomputer termaju AI bakal dilancar suku ketiga tahun ini

YTL Power International juga akan melancarkan model bahasa besar (LLM) milik Malaysia dikenali ILMU 1.0.

ytl data centers
Superkomputer termaju Kecerdasan Buatan (AI) akan ditempatkan di  Pusat Data Hijau YTL berkapasiti 500 megawatt di Johor. (Gambar YTL)
PETALING JAYA:
YTL Power International Berhad di landasan tepat melancarkan superkomputer termaju Kecerdasan Buatan (AI) pada suku ketiga tahun ini, kata Pengarah Urusannya Yeoh Seok Hong.

Superkomputer itu akan menggunakan Nvidia GB200 Grace Blackwell Superchip pada Nvidia DGX Cloud, iaitu infrastruktur awan akan menjadi asas kepada AI buatan Malaysia.

“Ia akan menjana model bahasa besar (LLM) milik Malaysia dikenali ILMU 1.0.

“NVIDIA DGX Cloud akan dilancarkan bersama ILMU 1.0 yang menjadi satu pencapaian penting memacu pembangunan penyelesaian AI buatan Malaysia,” kata Yeoh dalam kenyataan.

Semalam, The Edge melaporkan Naib Presiden dan Pengurus Besar DGX Cloud di Nvidia Corp Alexis Bjorlin berkata pelaksanaan platform Nvidia Blackwell Ultra di Malaysia di Pusat Data Hijau YTL berkapasiti 500 megawatt di Johor sedang berjalan sangat baik.

Pada 19 Mac tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata YTL AI Cloud, yang pertama untuk Malaysia, akan mempercepatkan penggunaan AI di Malaysia dan menerajui pembangunan Sovereign Cloud negara.

YTL akan menjadi antara syarikat pertama yang menggunakan NVIDIA GB200 NVL72, iaitu sistem skala rak, penyejukan cecair dan pelbagai nod dengan NVLink generasi kelima.

Superkomputer itu akan disambungkan oleh platform rangkaian NVIDIA Quantum InfiniBand.

Platform itu berfungsi sebagai GPU tunggal dengan 1.4 exaflop prestasi AI dan 30 terabait memori pantas serta dibangunkan untuk beban kerja intensif pengiraan.

YTL AI Supercomputer akan mengatasi lebih 300 exaflop pengiraan AI, menjadikannya antara superkomputer terpantas di dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.