
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, kenyataan Jovian diperlukan untuk mengesahkan dakwaan dibuat oleh Ismail, yang mengisytiharkan hartanya pada Februari lepas.
“Kita perlu dapatkan kerjasama beliau (Jovian). Ada aset yang dikatakan ada kaitan dengannya, seperti dinyatakan oleh Ismail. Kita perlu pengesahan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM.
“(Jovian kini) ada di Indonesia, beliau juga warga Indonesia. Jadi kita perlu jumpa beliau di sana. Kita harap dapat pergi ke sana dalam masa seminggu dua ini untuk segerakan urusan.”
Jovian sebelum ini pernah berkahwin dengan anak Ismail, Nina Sabrina, sebelum bercerai pada 2023.
Azam berkata, SPRM setakat ini telah merakam kenyataan 57 individu berkait siasatan itu.
Beliau turut mengesahkan SPRM telah menyelesaikan analisis harta Ismail dan akan menyerahkan hasilnya kepada Jabatan Peguam Negara pada penghujung Jun.
“Kita (juga) ambil kira (Ismail) terlibat dalam sektor swasta dan ada pegangan dalam syarikat. Perkara ini dipertimbangkan untuk pastikan penilaian yang adil terhadap pendapatannya,” katanya.
Apabila ditanya sama ada Ismail akan dipanggil untuk soal siasat lanjut, Azam berkata: “Bergantung kepada penemuan kita… mungkin dipanggil, mungkin tidak.”
SPRM terus merakam kenyataan Ismail pada 24 April dalam fasa kedua soal siasat berhubung pengisytiharan hartanya, dengan sesi terbaru dijalankan pada 7 Mei.
SPRM sedang menyiasat penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dan jongkong emas 16kg bernilai jutaan ringgit, kesemuanya dirampas dalam serbuan di kediaman empat lelaki dan tiga premis lain, dipercayai ‘rumah selamat’.
Seorang pengurup wang turut ditahan untuk membantu siasatan kes itu.