
Pemilihan pimpinan pusat kali ini menarik diperkatakan apabila menyaksikan pertembungan anak presiden PKR Nurul Izzah Anwar mencabar Rafizi Ramli yang juga penyandang bagi jawatan nombor dua parti.
Ironinya, bukan pemilihan parti tahun ini sahaja menyaksikan jawatan timbalan presiden ‘agak panas’ sebaliknya perebutan berlaku sejak 2014 lagi.
Ketika itu, bekas pemimpin PKR yang kini menyertai Bersatu, Azmin Ali, berjaya mengalahkan Saifuddin Nasution Ismail, setiausaha agung parti pada masa itu.
Jawatan itu dilihat menjadi rebutan susulan ada calon mendapat ‘sokongan’ presiden yang juga Perdana Menteri Anwar Ibrahim walaupun tidak dinyatakan secara terbuka.
Pada 2014 Anwar dilihat cenderung ‘memilih’ Saifuddin tetapi tewas. Begitu juga pada pemilihan 2018, Azmin sekali lagi berjaya mempertahankan jawatan timbalan presiden selepas mengalahkan lawannya Rafizi ketika itu.
Ketika itu, Anwar juga dilihat tidak menyatakan secara terang tetapi cenderung menyokong Rafizi.
Pada 2022 pula, Saifuddin sekali lagi kalah perebutan jawatan itu kepada Rafizi, walaupun Anwar juga dilihat cenderung menyokong bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu.
Kebetulan atau dirancang
Penganalisis politik, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, beliau tidak pasti sama ada kekalahan calon timbalan presiden PKR cenderung disokong Anwar sebelum ini adalah ‘kebetulan atau sudah dirancang’.
Bagaimanapun, katanya ada banyak kemungkinan dan antaranya kemenangan Azmin sebelum ini kerana beliau dahulunya sangat menjaga akar umbi dan mempunyai pengaruh kuat dalam parti.
Katanya, Rafizi pula menang melawan Saifuddin kerana sebelum ini dilihat lebih menonjol dan ‘pandai’ mengupas isu yang boleh menarik perhatian akar umbi serta perwakilan parti untuk menyokongnya.
“Namun, pertarungan Rafizi dan Nurul Izzah dilihat berbeza kerana ‘di atas kertas’ anak kepada Anwar itu dilihat mempunyai kelebihan berdasarkan sokongan dua pertiga cabang PKR.
“Walaupun Rafizi seorang pemidato terbaik, adakah beliau mampu menarik perhatian ahli PKR untuk mengundinya. Itu satu persoalan.
“Tindakan Rafizi yang membangkitkan hal dalaman (parti) semasa kempennya juga boleh menjadi ‘backfire’ kepadanya dan boleh membawa kekalahan kerana membangkitkan kemarahan ahli parti,” katanya.
Sementara itu, Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata, kekalahan calon timbalan presiden cenderung disokong Anwar tidak boleh diguna pakai pada pemilihan kali ini.
Beliau berpandangan, Nurul Izzah mempunyai pakej lengkap iaitu pemimpin yang berakar umbi, setia sejak 1998 dan tidak pernah sesekali ‘merajuk dan patah hati’ atau ‘bercuti’ daripada perjuangan parti.
“Kebetulan beliau anak Anwar dan ini kelebihan yang melonjakkan sokongan kepadanya untuk memenangi pemilihan jawatan timbalan presiden kali ini,” katanya.
Tawfik berkata, kemenangan Rafizi sebelum ini juga kerana menteri ekonomi itu terkenal sebagai pemimpin berjaya meyakinkan ahli dan rakyat dengan pelbagai ‘formula’ memandangkan PKR ketika itu belum mengambil alih Putrajaya.
“Justeru, apabila beliau menjadi menteri dan perlu mengambil masa yang sesuai dan lama untuk membuat perubahan, maka ahli dan rakyat melihat ada keperluan untuk mencari seorang pemimpin baru lebih agresif dan meletakkan reformasi sebagai agenda drastik,” katanya.