
Setiausaha Agung Fuziah Salleh mengingatkan semua ahli bahawa PKR berada pada tahap sekarang, iaitu sebagai sebuah parti pemerintah, atas pengorbanan mereka.
“Kalau dalam kita membawa agenda peribadi kita tebuk kapal ini, maka semua akan tenggelam,” pesannya, dalam ucapan sempena perasmian kongres Pemuda dan Wanita PKR malam tadi.
“Wadah ini yang kita bina dengan air mata, keringat susah payah, dipukul, disembur dengan asid, masuk penjara, lokap dan bina dengan kesusahan. Bukan mudah ke tahap ini.”
Pemilihan PKR kembali hangat dengan pertembungan antara Rafizi Ramli dan pencabarnya, Nurul Izzah Anwar, bagi jawatan timbalan presiden.
Pertandingan pelbagai penjuru turut disaksikan bagi empat jawatan naib presiden.
Seramai 32,030 perwakilan layak membuang undi pada pemilihan kepimpinan pusat PKR kali ini.
Fuziah mengingatkan semua ahli bahawa pemilihan PKR adalah persaingan antara ‘adik-beradik’, dan bukannya melawan musuh.
Tegasnya berbeza pandangan bukan bererti permusuhan. “Kita bawa politik nilai. Setuju tak setuju tak apa.”
Beliau sekali lagi menyeru ahli PKR supaya pelihara parti mereka, agar ia boleh terus memimpin kerajaan.
“Jaga baik-baik amanah ini. Jangan biar siapa-siapa tebuk lubang dalam kapal kita,” katanya.
Ditemui pemberita selepas acara, Fuziah menjelaskan ucapan beliau sekadar pesanan untuk jaga parti dengan baik, dan tidak merujuk kepada mana-mana individu.