
Sarang burung helang perut merah (Lophotriorchis Kienerii), spesies yang biasanya menghuni kawasan hutan bukit dan pergunungan matang, dikesan oleh felo penyelidik Anuar McAfee ketika melakukan tinjauan lapangan pada hujung Februari lalu.
Ditemui terutama di Asia Tenggara, spesies helang itu dianggap ‘hampir terancam’ oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).
Menurut McAfee dari Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), rekod persarangan burung pemangsa itu terhad, walaupun di kawasan diketahui sebagai habitatnya.

“Kita tahu spesies ini bersarang di sini, kerana burung itu dapat dilihat di kawasan hutan kita,” kata pengarang buku ‘Birds of Terengganu’ itu kepada FMT.
“Namun tiada sarang pernah dijumpai sebelum ini. Jadi (penemuan) itu sendiri sesuatu yang penting.”

McAfee, felo penyelidik di Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur Unisza berkata, penemuan sarang tersebut di Malaysia amat bernilai untuk bidang biologi pemuliharaan, pemantauan kepelbagaian biologi, dan penilaian ekosistem hutan.
Katanya, ia juga amat bertepatan dari segi simbolik, selaras tema Hari Kepelbagaian Biologi Antarabangsa tahun ini, iaitu ‘Keharmonian dengan Alam Semula Jadi dan Pembangunan Lestari’.
“Kehadiran helang ini menjadi petanda hutan kita sihat dari segi ekologi dan mampu menampung hidupan liar (pemangsa) puncak,” katanya.
“Sangat besar ertinya dapat menyaksikan sendiri dan mengesahkan (kewujudan) sarang haiwan pemangsa yang sangat istimewa ini di Malaysia.”