Petronas, anak syarikat tak perlu lesen operasi di Sarawak, kata Abang Jo

Petronas, anak syarikat tak perlu lesen operasi di Sarawak, kata Abang Jo

Premier Sarawak berkata, kerajaan negeri akan beri pengecualian sewajarnya, cuma Petronas perlu mohon terlebih dahulu.

abang johari openg
Premier Sarawak Abang Johari Openg (tengah) bersama timbalannya, Douglas Uggah Embas (kiri) dan Awang Tengah Ali Hasan pada sidang media di DUN Sarawak di Kuching hari ini. (Gambar Unit Komunikasi Awam Sarawak)
PETALING JAYA:
Petronas dan anak syarikatnya tidak perlu mendapatkan lesen daripada kerajaan Sarawak untuk beroperasi di negeri itu, kata Abang Johari Openg.

Premier Sarawak berkata, walaupun Petros milik kerajaan negeri telah diiktiraf secara rasmi sebagai agregator gas tunggal di Sarawak bawah kenyataan bersama baharu antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, kuasa mengeluarkan lesen operasi kekal terletak pada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak.

“Kementerian (itu) juga ada kuasa untuk berikan pengecualian. Memandangkan Petronas syarikat minyak negara, kementerian akan mengecualikan mereka sewajarnya.

“Kita akan berikan pengecualian. Bagaimanapun, (Petronas) mesti mohon dahulu,” katanya dalam sidang DUN Sarawak, lapor The Borneo Post.

Abang Johari berkata, perkara ini sebahagian daripada kenyataan bersama ditandatangani semalam, yang menandakan perkembangan penting dalam kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri.

Katanya, kenyataan bersama itu mencerminkan komitmen kerajaan persekutuan untuk menghormati hak Sarawak bawah Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Apabila ditanya sama ada kenyataan bersama itu akan terus berkuat kuasa jika pucuk pimpinan kerajaan persekutuan bertukar, Abang Johari menjelaskan, perjanjian-perjanjian komersial yang dibuat sebelum ini, termasuk semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin, masih lagi sah.

Tambahnya, kenyataan bersama itu mengesahkan saling pengiktirafan undang-undang persekutuan dan negeri, khususnya Ordinan Pengagihan Gas Sarawak 2016, yang menggariskan peranan Petros sebagai agregator gas tunggal di negeri itu mulai 1 Mac.

“Kerangka kerja perundangan yang kolaboratif ini memberikan kejelasan dan kepastian bagi industri minyak dan gas di Sarawak, khususnya pengiktirafan peranan Petros sebagai agregator gas,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai tanggungjawab Petros, Abang Johari berkata, syarikat itu akan menguruskan pembelian dan penjualan gas di Sarawak.

Bagaimanapun, katanya, impak kewangan peranan ini akan berubah-ubah bergantung pada harga pasaran dan keadaan perniagaan.

Menjawab sama ada kenyataan bersama itu akan menyelesaikan ketegangan undang-undang antara Petronas dan Petros, beliau berkata, pertikaian itu akan kekal menjadi perkara yang perlu diselesaikan oleh mahkamah.

“Ada proses undang-undangnya, dan kita akan serahkan (perkara ini) untuk dikendalikan oleh pasukan guaman masing-masing,” katanya.

Sementara itu, berhubung minat Sarawak dalam projek gas asli cecair, Abang Johari berkata, penting bagi negeri itu mempunyai kepentingan dalam industri minyak dan gas melalui Petros, dan Putrajaya dan Kuching bersetuju untuk saling mengiktiraf undang-undang persekutuan dan negeri.

“Itu sahaja. Selebihnya urusan perniagaan – jika perniagaan bagus, kita dapat lebih banyak untung,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.