Pearly-Thinaah mara ke suku akhir Masters Malaysia

Pearly-Thinaah mara ke suku akhir Masters Malaysia

Pearly Tan-M Thinaah tewaskan pasangan Thailand, Pichamon Phatcharaphisutsin-Nannapas Sukklad, dalam aksi pusingan kedua.

Pearly-Thinaah
Pearly Tan-M Thinaah bertemu beregu Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi, pada aksi suku akhir esok. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah meneruskan kemaraan ke suku akhir Masters Malaysia 2025 selepas menewaskan pasangan Thailand, Pichamon Phatcharaphisutsin-Nannapas Sukklad, dalam aksi pusingan kedua.

Dalam aksi di Axiata Arena, Bukit Jalil, pasangan pilihan ketiga itu mempamerkan aksi bertenaga untuk mencatat kemenangan straight set dengan 21-13, 21-15 dalam masa 37 minit.

“Ketika beberapa mata genting, lawan memberi tekanan hebat kepada kami. Tapi kami saling mengingatkan agar kekal tenang dan berpegang kepada corak permainan sendiri,” kata Thinaah.

Pearly-Thinaah dijadual bertemu beregu Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi, pada aksi suku akhir esok selepas pasangan itu menundukkan wakil Taiwan, Yan Fei Chen-Liang Ching Sun 21-13, 21-13.

Dalam pada itu, beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing, terpaksa akur apabila disingkirkan pilihan ketujuh dari China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian, selepas tewas dengan 6-21, 13-21.

Nasib sama menimpa beregu campuran negara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien, yang gagal menandingi kehebatan gandingan pilihan keenam dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, apabila tunduk 14-21, 9-21.

Sementara itu, Loo Bing Kun-Toh Ee Wei turut menamatkan kempen selepas tewas dalam pertarungan sengit selama 68 minit kepada gandingan Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan, 21-19, 20-22, 18-21.

Ini juga penampilan terakhir gandingan Bing Kun-Ee Wei apabila Ee Wei akan kembali bergandingan bersama Chen Tang Jie pada Terbuka Singapura bermula 27 Mei ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.