MyKiosk: DAP dakwa MCA mahu gagalkan kerajaan perpaduan

MyKiosk: DAP dakwa MCA mahu gagalkan kerajaan perpaduan

MCA berhak buat laporan tapi pelaksanaan MyKiosk dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan tempatan, kata Pemuda DAP.

Ong Chun Wei
Pemuda DAP bersama timbalan ketuanya, Ong Chun Wei (tengah) cabar ahli-ahli majlis MCA membawa isu MyKiosk secara rasmi dalam mesyuarat penuh PBT bulan ini.
KUALA LUMPUR:
Pemuda DAP mendakwa MCA mahu menggagalkan kerajaan perpaduan berhubung isu MyKiosk, susulan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Timbalan Ketua Pemuda DAP, Ong Chun Wei, berkata MCA sepatutnya menyasarkan pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri yang melaksanakan program tersebut.

Katanya, pelaksanaan program MyKiosk dilakukan sepenuhnya oleh kerajaan tempatan atau PBT, yang bertanggungjawab terhadap keseluruhan proses — daripada permohonan, penilaian, pembinaan hinggalah penyewaan kios tersebut.

“MCA berhak untuk membuat laporan, namun serangan mereka harus disasarkan kepada pihak yang betul,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP.

“Sekiranya benar terdapat penyelewengan, laporan sepatutnya dibuat terhadap PBT atau kerajaan negeri yang bertanggungjawab sebagai agensi pelaksana.”

MyKiosk merupakan inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), bertujuan meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi penduduk setempat melalui penyediaan kios perniagaan dengan kadar sewaan yang rendah.

Semalam, Pemuda MCA Selangor membuat laporan kepada SPRM bagi menggesa siasatan ke atas projek bernilai RM250 juta itu. Ketuanya mendakwa hanya lebih separuh kios digunakan.

Sebelum ini sayap itu mempersoalkan kenapa kerajaan membayar RM25,000 hingga RM34,000 sedangkan harga pasaran hanya RM12,800 bagi seunit kios.

Hari ini, Pemuda DAP memaklumkan Johor, Pahang, dan Melaka antara penerima manfaat terbesar program MyKiosk, dan mencabar ahli-ahli majlis MCA membawa isu itu secara rasmi dalam mesyuarat penuh PBT bulan ini.

“Nyatakan secara terbuka bahawa penyelewengan berlaku di peringkat PBT semasa proses sebut harga, jika mereka benar-benar berani dan mempunyai bukti kukuh, cabar exco kerajaan tempatan sekali,” kata Ong.

Dalam pada itu, beliau menepis dakwaan bahawa MyKiosk projek gajah putih, mengatakan kadar penyewaan bagi MyKiosk 1.0 mencapai 85% manakala MyKiosk 2.0 melebihi 60% walaupun hanya dilaksanakan dalam tempoh empat bulan.

Katanya lagi, projek MyKiosk mematuhi sepenuhnya garis panduan menurut pekeliling perbendaharaan, yang menyatakan sebarang projek melebihi RM50,000 wajib melalui proses sebut harga.

KPKT hari ini secara sukarela menyerahkan dokumen berkaitan projek MyKiosk kepada SPRM, bagi memastikan tiada elemen salah guna kuasa atau penyelewengan dalam pelaksanaan program itu.

Menurutnya, semua peruntukan berkaitan projek MyKiosk disenaraikan dalam Inisiatif Belanjawan dan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Perolehan serta pelantikan kontraktor bagi projek berkenaan dilaksanakan oleh 133 PBT melalui sebut harga terbuka, dan hasil daripada proses tender terbabit sebanyak 795 kontraktor dilantik oleh PBT.

Katanya lagi, kos siling bagi MyKiosk 2.0 adalah RM25,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.