Asean mesti memimpin ketika AS kendur penglibatan serantau, kata pakar

Asean mesti memimpin ketika AS kendur penglibatan serantau, kata pakar

Dengan AS semakin kurang boleh diharap sebagai rakan ekonomi, pakar berkata Asean mesti mengukuhkan integrasi ekonomi dan mengekalkan kepimpinan di rantau ini.

Asean Summit
Pakar berkata blok Asean mesti mengukuhkan peranan sebagai kuasa penstabil di tengah-tengah perubahan pakatan global dan penglibatan AS yang semakin berkurangan. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Pakar berkata Asean mesti mengorak langkah dan menempatkannya sebagai destinasi perniagaan utama serta rakan serantau yang penting selepas Amerika Syarikat (AS) mengurangkan penglibatan di rantau ini demi mengutamakan hubungan dua hala terpilih.

Bercakap kepada FMT, Tricia Yeoh dari Universiti Nottingham Malaysia berkata pendekatan AS ketika ini sangat berbeza berbanding pentadbiran terdahulu.

Tricia Yeoh
Tricia Yeoh.

“Asean tidak boleh silap dengan menganggap ia sedang beroperasi atau berunding dengan pihak yang berkongsi nilai, prinsip atau pandangan sama seperti pentadbiran terdahulu di Washington,” katanya.

Felo Kanan Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, Denis Hew, berkata tanda pengunduran AS boleh dilihat sejak pentadbiran Joe Biden.

“AS tidak dapat memuktamadkan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik yang dicadangkan dua tahun lalu. Bagi saya, ia menunjukkan mereka tidak terlibat sepenuhnya.

“Pentadbiran Donald Trump sekarang menjadi semakin bersifat transaksional,” katanya.

Penglibatan AS yang semakin berkurangan mungkin mendorong Asean lebih rapat dengan China, namun Yeoh memberi amaran supaya tidak terlalu bergantung kepada Beijing.

“China sedang menghadapi cabaran ekonomi domestik sementara ia menguruskan kesan daripada tarif,” katanya.

Denis Hew
Denis Hew.

Hew, yang pernah mengetuai bahagian dasar Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) berkata, peranan Asean dalam rantaian bekalan global bermakna ia mesti terus bekerjasama dengan kedua-dua AS dan China.

“Kita perlu memastikan adanya satu platform seperti Asean di mana kedua-dua kuasa besar ini boleh berbincang dan bekerjasama, supaya mereka dapat memperkukuh rantaian bekalan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi lebih besar,” katanya.

Bagi mengekalkan pengaruh, Hew menyeru Asean berusaha membina ekonomi lebih bersepadu untuk meningkatkan tarikannya sebagai pasaran keempat terbesar dunia.

Menurut Yeoh, ini bermakna perlu ada koordinasi lebih kukuh antara negara anggota serta menetapkan keutamaan yang jelas dalam aspek perdagangan, peraturan digital dan mobiliti tenaga kerja.

“Asean sepatutnya mengambil inisiatif dan menunjukkan dengan jelas yang AS masih memerlukannya sebagai kuasa penstabil di rantau Asia-Pasifik.

“Hanya atas alasan keselamatan pun, AS memerlukan Asia Tenggara apatah lagi untuk ekonomi dan geopolitik lain,” katanya.

Risiko ekonomi masa depan

Dengan Washington turut melemahkan institusi global seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Yeoh berkata Asean perlu bersedia berdepan persekitaran perdagangan yang lebih terpecah.

“Ekonomi Asean perlu menjangkakan bahawa AS—yang sekian lama menjadi penentu piawaian antarabangsa dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan dan keselamatan—mungkin tidak lagi boleh diharap sebagai penanda aras utama,” katanya.

Beliau berkata, mungkin menjadi tanggungjawab Asean untuk menetapkan piawaian antarabangsa baharu termasuk dalam bidang teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

Walaupun Washington dan Beijing secara terbuka menyatakan mereka tidak berhasrat ‘memisahkan’ ekonomi atau teknologi, Yeoh berkata risiko perpecahan ekonomi tetap wujud.

Beliau juga membangkitkan kebimbangan mengenai peningkatan perjanjian dua hala yang mengandungi syarat strategik tertentu.

“Sebahagian daripada perjanjian yang Malaysia ingin capai dengan AS melibatkan diplomasi teknologi, yang akan memastikan teknologi tertentu yang melalui Malaysia dalam rantaian bekalan tidak sampai ke China.

“Negara Asean perlu menilai sama ada perjanjian seperti ini akan memberi manfaat atau mudarat dalam jangka panjang, terutama kerana inisiatif integrasi serantau seperti Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) dan FTA Asean-China turut melibatkan China,” katanya.

Sidang Kemuncak Asean ke-46 akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 hingga 27 Mei, dengan Malaysia selaku pengerusi tahun ini – menyelaras tindak balas bersama terhadap tarif AS.

Dalam persidangan itu, pemimpin dijangka membincangkan bagaimana Asean boleh mengekalkan kebebasan serantau di tengah-tengah tekanan semakin meningkat untuk memihak kepada mana-mana kuasa besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.