Anwar bentang visi Malaysia untuk Asean menjelang sidang kemuncak utama

Anwar bentang visi Malaysia untuk Asean menjelang sidang kemuncak utama

Perdana Menteri berkata Malaysia berhasrat memperkukuh hubungan serantau dan daya tahan ekonomi sepanjang tempoh sebagai pengerusi Asean.

asean summit malaysia
Sidang Kemuncak Asean ke-46 akan bermula di Kuala Lumpur, Isnin ini yang bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Ketika Malaysia bersiap sedia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Asean ke-46 pada 26 hingga 27 Mei, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menggariskan visi negara untuk sebuah Asia Tenggara yang lebih bersatu padu dan yakin dalam menghadapi ketidaktentuan global yang semakin meningkat.

Dalam taklimat media semalam, Anwar mengakui kerumitan cabaran terbesar di rantau ini dan berkata beliau tidak mempunyai gambaran ia boleh diselesaikan dalam tempoh setahun.

“Kita hanyalah pemain kecil di rantau ini, tetapi kita perlu stabil dari segi politik dan tahan uji dari segi ekonomi, serta membina hubungan kukuh dengan jiran-jiran kita,” katanya ketika menghuraikan harapannya secara peribadi.

Sebagai pengerusi Asean tahun ini, Malaysia mengamalkan pendekatan pragmatik di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.

Anwar berkata Malaysia mengutamakan inisiatif dua hala yang menyumbang kepada integrasi Asean secara menyeluruh, dengan mengambil contoh usaha pembangunan bersama di sempadan dengan selatan Thailand.

Negara anggota Asean juga semakin banyak berdagang menggunakan mata wang tempatan, dengan lebih 20% perdagangan Malaysia dengan Indonesia dan China sudah pun dilakukan dalam ringgit atau yuan.

Menolak dakwaan ada usaha mengurangkan peranan dolar dalam aktiviti perniagaan dan penubuhan Dana Kewangan Asia, Anwar berkata pertukaran mata wang serantau di bawah Inisiatif Chiang Mai menunjukkan peningkatan kerjasama kewangan.

“Fokus kita untuk Asean tahun ini sudah tentu untuk memperkukuh perpaduan, meningkatkan perdagangan intra-Asean dan memberi tumpuan kepada ekonomi dan pelaburan,” katanya yang juga menteri kewangan.

Anwar turut mengetengahkan kemajuan Grid Kuasa Asean, yang bertujuan menghubungkan bekalan tenaga Sarawak ke Sabah, Kalimantan, dan selatan Filipina.

“Ini adalah sesuatu yang perlu kita terokai dengan lebih lanjut, terutamanya kerana isu Petronas-Petros telah pun diselesaikan.”

Ketegangan geopolitik

Anwar menepis perbincangan mengenai ketegangan yang semakin meruncing di Laut China Selatan, sambil mengakui ada sekali-sekala pergeseran antara China dan Filipina namun menjelaskan laporan terkini menunjukkan keadaan itu semakin reda.

“Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, keadaan menjadi lebih tenang dan berhati-hati,” katanya, sambil menambah kedua-dua pihak kelihatan bersedia untuk berbincang.

Beliau mengulangi pendirian Asean untuk berkecuali strategik, dengan menekankan keperluan untuk terus berinteraksi dengan semua rakan, termasuk Amerika Syarikat, China dan Kesatuan Eropah, tanpa memihak kepada mana-mana pihak.

Perkara penting untuk diperhatikan

Salah satu hasil utama yang dijangka daripada sidang kemuncak tahun ini ialah Deklarasi Kuala Lumpur, serta pelancaran Visi Komuniti Asean 2045, iaitu pelan hala tuju 20 tahun untuk mempertingkat kerjasama politik, ekonomi dan sosiobudaya dalam kalangan negara anggota.

Menurut Anwar, pelan itu bersifat ‘komprehensif’ dan akan merangkumi aspek pendigitalan serta isu-isu berorientasikan masa depan, sambil memastikan bahawa ‘pra-syarat keamanan dan keselamatan’ terus dikekalkan.

Malaysia juga akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Ekonomi Asean–Majlis Kerjasama Teluk–China yang pertama, yang bertujuan memperkukuh hubungan ekonomi antara wilayah.

Anwar menolak dakwaan inisiatif itu sebagai usaha pembentukan pakatan geopolitik baharu.

“Ia bukan pakatan kuasa tiga hala,” katanya, sambil menambah perbincangan mungkin akan melibatkan projek subserantau bersama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.