Zaliha nafi syarikat terkait diri vendor pemilihan parti

Zaliha nafi syarikat terkait diri vendor pemilihan parti

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti berkata People Media Sdn Bhd merupakan syarikat bertujuan khas milik PKR menguruskan hal ehwal media dan teknologi parti.

zaliha mustafa
Pengerusi JPP Dr Zaliha Mustafa, berkata People Media Sdn Bhd diguna pakai menguruskan penyenaraian aplikasi ADIL di platform Google Play Store dan Apple App Store.
PETALING JAYA:
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa menafikan sebuah syarikat di mana beliau menjadi pengarah merupakan vendor sistem pemilihan parti.

Dalam catatan di X, Zaliha berkata People Media Sdn Bhd (PMSB) bukan vendor sistem itu.

“Sebaliknya, PMSB adalah syarikat SPV (syarikat bertujuan khas) milik parti yang menguruskan hal ehwal media dan teknologi parti.

“Syarikat ini diguna pakai untuk menguruskan penyenaraian aplikasi ADIL di platform Google Play Store dan Apple Apps Store sahaja,” katanya.

Beliau berkata, selainnya, Saraswathy Kandasami dan Azrul Azwar dilantik parti sebagai pengarah/pemegang amanah, sejak 2022.

Zaliha, yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (wilayah persekutuan), menegaskan tidak mahu diheret menjelang pemilihan pusat parti pada 23 Mei.

“Sekali lagi saya ingatkan, jangan heret saya mahupun JPP dalam sebarang urusan kempen dan pertembungan antara calon.”

Katanya, tidak perlu dinormalisasikan fitnah kerana JPP merupakan entiti menguruskan pemilihan, bukan calon.

“Saya hanya jawab tuduhan yang dikaitkan dengan saya dan JPP,” katanya.

Semalam, Zaliha mempersoalkan masa calon timbalan presiden, Rafizi Ramli membangkitkan bahawa tiada perbincangan diadakan sebelum vendor baharu bagi sistem pengundian parti itu dilantik.

Beliau berkata, Rafizi ‘langsung tidak mempertikaikan’ pelantikan vendor ketika perkara itu dibincangkan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Komen Zaliha menyusuli kenyataan Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh yang menyangkal dakwaan Rafizi.

Fuziah juga berkata, Rafizi tidak membantah keputusan menggunakan vendor baharu itu pada mesyuarat MPP yang dihadirinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.