
Faizal Abdul Rahman, felo penyelidik di S Rajaratnam School of International Studies (RSIS), Singapura, berkata ketegangan di Laut China Selatan, khususnya antara China dan Filipina, menyaksikan penyebaran propaganda dipacu AI – elemen utama landskap perang kognitif baharu muncul.
‘Perang kognitif’ merujuk strategi bertujuan mempengaruhi atau mengganggu proses pemikiran manusia, pembuatan keputusan dan persepsi untuk mencapai objektif strategik, termasuk perpecahan masyarakat tanpa campur tangan tentera.
Didorong oleh kepentingannya sebagai laluan perkapalan strategik dan zon kaya dengan sumber, Laut China Selatan menjadi subjek tuntutan bertindih oleh China di satu pihak, dan Filipina, Vietnam, Malaysia, Brunei serta Taiwan di pihak lain.
“Negara-negara yang menuntut perlu bersedia menghadapi taktik perang kognitif AI,” kata Faizal kepada FMT.
Sementara itu, beberapa negara Asean sedang memajukan teknologi pertahanan dipacu AI. Indonesia, contohnya, sedang bekerjasama dengan Turki untuk membangunkan dron, manakala cabang teknologi ketenteraan Vietnam, Viettel, mengintegrasikan AI ke dalam radar dan sistem peperangan elektronik.
“Dron yang didayakan AI ini boleh melengkapkan postur pertahanan Indonesia berhampiran kepulauan Natuna,” kata Faizal.
“Keupayaan sedemikian berguna apabila digunakan di pulau-pulau kecil di Laut China Selatan, yang dikawal dan dituntut semula oleh Vietnam.”
Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Asean, dipengerusikan Malaysia Februari lalu, menekankan risiko pengunaan AI dalam ketenteraan, termasuk salah pengiraan, kebergantungan berlebihan dan potensi peningkatan konflik yang tidak diingini.
Strategi jangka panjang
Bagaimanapun, Faizal berkata walaupun negara Asean mungkin mengintegrasikan garis panduan berkaitan AI dalam usaha pemodenan ketenteraan, masih tidak dapat ditentukan sama ada mereka akan menerima sekatan yang boleh mengehadkan pilihan strategik mereka di Laut China Selatan.
Katanya, peraturan dan norma berfungsi lebih baik apabila wujud tahap kepercayaan yang tinggi antara negara terlibat dalam pertikaian.
“Namun, rundingan berpanjangan mengenai tatakelakuan (COC) menunjukkan bahawa wujud lebih banyak pesimisme berbanding optimisme dalam usaha menyelesaikan pertikaian Laut China Selatan,” katanya.
Rundingan COC antara Asean dan China berlarutan selama lebih dua dekad, terbantut oleh perselisihan faham mengenai kewajipan undang-undang, skop geografi dan penguatkuasaannya.
Johan Saravanamuttu dari Universiti Malaya, percaya Malaysia sebagai pengerusi Asean boleh menggunakan hubungan istimewanya dengan China untuk mendorong kemajuan perbincangan COC.
Malaysia adalah negara Asia Tenggara pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan China pada 1974, dan kini menjadi penyelaras negara Asean-China.
“Malaysia mempunyai hubungan yang lebih baik dengan China berbanding Filipina, yang akan menjadi pengerusi Asean seterusnya,” kata Johan.
“Filipina mempunyai tuntutan ke atas Laut China Selatan, tetapi ia bersekutu dengan AS. (Keadaan ini) mewujudkan lebih banyak komplikasi akibat ketegangan AS-China.”
Beliau turut menggesa Malaysia menghidupkan semula Majlis Tertinggi Asean, yang kini tidak aktif, untuk mencapai penyelesaian konflik secara aman, serta mempertimbangkan memperkenalkan semula idea-idea Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (Zopfan) – deklarasi yang ditandatangani oleh negara-negara Asean pada 1971 – termasuk menjadikan Asia Tenggara sebagai wilayah bebas nuklear.
Urus jangkaan
Meskipun begitu, usaha menangani isu berkaitan Laut China Selatan, sama ada dari segi mengawal selia penggunaan ketenteraan AI atau memuktamadkan COC, akan mengambil masa, kata pakar.
Tang Siew Mun dari ISEAS Yusof-Ishak Institute berkata, Asean masih dalam proses pembangunan dan ‘tidak wajar’ untuk meletakkan begitu banyak harapan pada hanya satu pengerusi.
Katanya, hal ini terutama apabila Malaysia sedang berdepan cabaran geopolitik dan geoekonomi lebih besar, selain jangkaan lebih tinggi, berbanding ketika menjadi pengerusi blok Asean 10 tahun lalu.
Tang berkata, walaupun hubungan Filipina dengan Beijing agak tegang, kepengerusiannya tahun depan mungkin tidak akan menjejaskan usaha blok Asean di Laut China Selatan.
“Walaupun banyak perhatian dalam pertikaian di Laut China Selatan tertumpu pada ketegangan antara Filipina dan China, perlu diingat bahawa keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan ialah isu serantau,” katanya kepada FMT.
Faizal berkata, tempoh setahun kepengerusian Asean terlalu singkat untuk mencapai kemajuan ketara dalam penggunaan AI dalam pertahanan.
“Untuk mengekalkan momentum itu, Malaysia mungkin perlu bekerjasama dengan pengerusi tahun depan untuk memastikan kesinambungan agenda ‘AI dalam pertahanan’,” katanya.
Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Asean ke-46 di Kuala Lumpur pada 26 Mei, bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
Sidang kemuncak itu akan menangani isu ‘panas’ serantau, termasuk Laut China Selatan, di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.