
Ketua Pemuda Selangor, Izuan Kassim, berkata tindakan mengubah dasar parti hanya kerana menyasarkan satu individu sebagai tidak adil kepada generasi pelapis.
“Tak bolehlah nak tengok satu susuk saja kemudian kita nak buat dasar baru. Bagi saya tak adil,” katanya kepada FMT, berpandangan tempoh minimum dua tahun memadai untuk seseorang itu bertanding.
“Kalau lima tahun, dia kena tunggu sampai dua kali pemilihan baru boleh bertanding, contoh ada anak muda teknokrat baru masuk, susahlah dia nak ke hadapan.”
Adun Kota Damansara itu mengulas cadangan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, hanya individu dengan keahlian sekurang-kurangnya lima tahun dibenarkan bertanding dalam pemilihan parti bagi mengukuhkan disiplin dan kesetiaan ahli.
Bercakap di pentas jelajah Hiruk di Johor Bahru, malam tadi, menteri ekonomi itu berkata saranan berkenaan sebagai menangani pergolakan yang timbul dalam pemilihan parti akibat tindakan pihak tertentu yang ‘lompat dari parti lain’.
Beliau juga meminta parti membatalkan sistem sedia ada membenarkan ahli baharu bertanding jawatan dalam pucuk pimpinan parti dan ada kes dengan kuasa pelepasan presiden.
Beliau menyasarkan R Ramanan yang kini bertanding merebut jawatan naib presiden PKR, diberi laluan mudah bertanding di ‘kerusi selamat’ Parlimen Sungai Buloh pada PRU 2022 kemudian dilantik timbalan menteri walaupun baru menyertai PKR.
Ramanan menyertai PKR pada 2020 selepas meninggalkan MIC pada 2014 dengan jawatan terakhirnya sebagai bendahari agung.
Naib Ketua Pemuda Johor, Faezudin Mohd Puad, pula mempertikaikan kewajaran Rafizi membangkitkan perkara itu di pentas pemilihan, sedangkan beliau sudah bersama Ramanan dalam Kabinet dan pimpinan pusat.
“Kalau pun betul Rafizi dari awal tak setuju dengan Ramanan, dia patut nyatakan perkara itu dari awal lagi tetapi kenapa bila sampai pemilihan baru nak bangkitkan semua ini?
“Dia bersama dalam Kabinet, dalam MPP (Majlis Pimpinan Pusat), dia boleh bersama dalam tempoh tiga tahun itu tetapi bila sampai pemilihan, nak berbalah, bermusuhan, nak ungkit kuasa presiden…kenapa baru sekarang?” soalnya.
Izuan dan Faezudin juga senada setiap pimpinan perlu menghormati hak prerogatif presiden membenarkan seseorang itu bertanding, mengambil kira impak individu berkenaan kepada kelangsungan parti.
“Kena letakkan kepercayaan kepada presiden, kenapa beliau bagi orang itu bertanding,” kata Faezudin yang juga ketua Pemuda Pulai.
“Kalau nak tarik kuasa presiden, itu menutup ruang bakat baharu yang berada di luar parti yang mungkin berminat dengan agenda reformasi,” kata Izuan.