Siasatan kematian Teoh diklasifikasikan sebagai NFA

Siasatan kematian Teoh diklasifikasikan sebagai NFA

Pada November lepas, Mahkamah Tinggi perintah polis lengkap siasatan yang sudah lama tertangguh.

Teoh Beng Hock ditemukan meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas berjam-jam disoal siasat oleh SPRM.
PETALING JAYA:
Kes kematian Teoh Beng Hock telah diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA)..

Menurut undangan Persatuan Teoh Beng Hock untuk Kemajuan Demokrasi ke sidang media esok, perkara itu dimaklumkan kepada keluarga Teoh oleh polis semalam.

Pada 21 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi mengarahkan polis melengkapkan siasatan yang sudah lama tertangguh berhubung kematian Teoh lebih 15 tahun lalu.

Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengeluarkan perintah itu dalam prosiding semakan kehakiman yang dikemukakan oleh keluarga Teoh dua tahun lalu.

Keluarga itu memohon deklarasi bahawa kegagalan polis menyelesaikan siasatan berhubung kematian Teoh dalam tempoh masa yang wajar adalah suatu pelanggaran undang-undang lazim dan kewajipan statutori.

Teoh ditemukan meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas berjam-jam disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam inkues yang dijalankan berhubung kematiannya, koroner membuat keputusan terbuka, iaitu Teoh bukan bunuh diri mahupun dibunuh.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 2014 memutuskan bahawa kematian Teoh disebabkan oleh ‘satu atau lebih individu tidak diketahui’, termasuk pegawai SPRM.

Pada 2019, polis melancarkan siasatan bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan berhubung pengurungan salah.

Sebelum 2018, dua pasukan siasatan khas telah ditubuhkan – pada 2011 dan 2015 – untuk menyiasat kematian Teoh, tetapi kedua-dua kes diklasifikasikan sebagai NFA oleh pendakwa raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.