P Pinang pertimbang ubah terowong kepada jambatan

P Pinang pertimbang ubah terowong kepada jambatan

Projek terowong bawah laut mula dicadangkan pada 2011 dan bertujuan untuk menghubungkan George Town dan Butterworth.

Projek terowong bawah laut dan jalan raya sepanjang 7.2km sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang. (Gambar fail)
GEORGE TOWN:
Kerajaan Pulau Pinang sedang mempertimbangkan cadangan mengubah reka bentuk penghubung baharu pulau dan tanah besar daripada terowong kepada jambatan.

“Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan cadangan perubahan reka bentuk yang baharu iaitu daripada terowong dasar laut kepada jambatan merentasi Selat Pulau Pinang,” kata Exco Zairil Khir Johari ketika menggulung perbahasan di DUN.

Jambatan itu mungkin menghubungkan Pulau Tikus dengan Bagan Ajam, katanya, sekaligus menjadikan ia jambatan ketiga yang menghubungkan pulau dan tanah besar.

Menurut exco prasarana itu, Kajian kebolehlaksanaan merangkumi jambatan dan reka bentuk alternatif lain siap pada 2023.

Kajian pelaksanaan dijangka selesai dalam masa terdekat, dan reka bentuk baharu akan dimuktamadkan selepas itu.

“Penilaian impak lalu lintas dan semua penilaian sewajarnya akan dilaksanakan setelah itu,” katanya.

Projek terowong dasar laut, pertama kali dicadangkan pada 2011 sebagai sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), bertujuan untuk menghubungkan George Town ke Butterworth melalui terowong sepanjang 7.2km.

Terdahulu, dalam jawapan bertulis kepada Lee Khai Loon (PH–Machang Bubok), Zairil berkata terowong itu masih relevan dan boleh memberi manfaat kepada masyarakat dan pembangunan negeri.

Beliau berkata terowong itu akan membantu mengurangkan kesesakan di laluan menuju ke Jambatan Pulau Pinang dengan mengalihkan trafik ke laluan baharu.

“Reka bentuk baharu ini merupakan satu cadangan yang mempertimbangkan aspek kecekapan, kebolehlaksanaan, keberkesanan dan impak kepada sosial dan alam sekitar,” katanya.

Pada 26 Feb lepas, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kajian kebolehlaksanaan projek terowong itu masih di peringkat penelitian.

Katanya, kerajaan negeri sedang meneliti beberapa perkara antaranya pembesaran pelabuhan North Butterworth Container Terminal (NBCT) yang melibatkan jajaran projek berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.