
Dalam serbuan antara 2 petang semalam hingga 4.30 pagi tadi, enam lelaki turut ditahan.
Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad, berkata semua individu ditahan berusia 33 hingga 41 tahun.
Beliau berkata, terdahulu, polis menahan seorang daripada lelaki dan merampas sejumlah dadah, seterusnya hasil soal siasat, lelaki itu membawa polis ke kereta berkenaan lalu menemukan dua beg kain mengandungi 532 peket berwarna ungu dan keemasan berisi serbuk MDMA dianggarkan seberat 18.42kg.
“Polis turut merampas lima kotak mengandungi 777 peket plastik pelbagai warna berisi serbuk MDMA dianggar seberat 19.38 kg, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dadah ialah 37.8 kg bernilai RM6.3 juta,” katanya menurut Bernama pada sidang media di Bukit Mertajam.
Hamzah berkata selain itu, polis merampas satu bungkusan plastik mengandungi beg kertas dan plastik bungkusan dipercayai bagi tujuan pengeposan yang ditemukan dalam kereta terbabit.
Beliau berkata, susulan tangkapan pertama dan hasil risikan, polis menahan lima lagi lelaki di sekitar George Town.
“Selain rampasan dadah, polis menyita tujuh kereta bernilai RM297,000, barang kemas bernilai RM1,500 dan wang tunai RM2,550.”
Hamzah berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak awal tahun ini, manakala dadah dirampas mampu digunakan 80,000 penagih.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan sindiket berkenaan mempunyai kaitan dengan tangkapan seorang lelaki bersama beberapa jenis dadah termasuk MDMA bernilai RM2.1 juta pada minggu lalu, namun siasatan lanjut sedang dijalankan.
Katanya, semua suspek kini direman hingga 27 Mei untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.