
Ditandatangani Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Abang Johari Openg, ia merupakan prinsip-prinsip asas yang telah dipersetujui untuk mempermudahkan rundingan seterusnya antara syarikat minyak dan gas negara dan agregator gas negeri itu.
“Kenyataan bersama ini memperakui undang-undang persekutuan dan negeri, kedudukan perjanjian-perjanjian sedia ada dan pembentukan rangka kerja kerjasama di antara Petronas dan Petros,” menurut kenyataan bersama itu.
Kenyataan bersama tersebut terbit di sebalik kebimbangan ramai pihak berhubung pertikaian melibatkan kawalan terhadap sektor minyak dan gas Malaysia — dan hasil berbilion ringgit — dan kesan memenuhi tuntutan Sarawak ke atas Petronas.
Antara lain, ia menyatakan semua undang-undang persekutuan dan negeri berkaitan pengagihan gas di dalam Sarawak hendaklah “wujud secara bersama” dan dihormati oleh semua pihak yang menjalankan aktiviti tersebut.
Petronas juga akan meneruskan fungsi, aktiviti, tanggungjawab dan kewajipan sepertimana dimanahkan di bawah Akta Kemajuan Petroleum.
Undang-undang di Sarawak juga tidak akan menjejaskan mana-mana perjanjian dan pengaturan antara Petronas dan anak-anak syarikat dengan pihak ketiga yang berkaitan dengan aktiviti Petronas dan anak-anak syarikat di Sarawak. Pihak ketiga itu termasuk Petros.
Juga, semua pihak yang menjalankan perniagaan pemasaran, pengedaran, dan pembekalan gas kepada pengguna domestik di Sarawak hendaklah menghormati pelantikan Petros sebagai agregator gas.
Sebarang perjanjian dan pengaturan antara Petronas dan/atau anak syarikatnya dengan pihak ketiga bagi tujuan penjualan gas asli cecair (LNG) dari sektor huluan hingga ke pengeksportan kepada pihak-pihak antarabangsa juga tidak terjejas.
‘Berusaha untuk terus bekerjasama’
Sementara itu, Putrajaya dan Sarawak menegaskan Petronas dan Petros hendaklah mengadakan perbincangan bagi tujuan meluaskan kerjasama bagi keperluan gas domestik Sarawak.
Ia menyentuh tiga bidang, iaitu projek penyaluran bekalan gas sehingga 1.2 bilion kaki padu sehari (Bscf/d) bagi menyokong Pelan Hala Tuju Gas Sarawak; dan projek tenaga hijau, hidrogen dan penjanaan elektrik yang mungkin dilaksanakan oleh Petronas dan Petros.
“Bagi tujuan projek-projek masa depan di Sarawak yang melibatkan rakan kongsi antarabangsa, Petronas akan bekerjasama dengan Petros,” katanya.
Dalam pada itu, Putrajaya dan Sarawak menyatakan Petronas dan Petros hendaklah “berusaha untuk terus bekerjasama” memperincikan rangka kerja demi kepentingan negara mengikut prinsip komersial secara telus.
Putrajaya dan Sarawak dilihat memperakui kesan pertikaian ke atas keyakinan pelabur, apabila mengatakan potensi besar yang dapat diterokai secara menyeluruh dari kesepakatan “mampu memperkukuhkan kepercayaan dan mengembalikan keyakinan para pelabur” khususnya syarikat-syarikat antarabangsa di dalam sektor petroleum untuk memuktamadkan hala tuju pelaburan masing-masing di Malaysia.