
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Mohd Jafni Md Shukor, berkata untuk tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM106.2 juta bagi melaksanakan 104 projek di kawasan kerap berlaku banjir melibatkan 16 PBT.
Beliau berkata Majlis Bandaraya Johor Bahru menerima peruntukan tertinggi iaitu RM42.4 juta bagi melaksanakan 16 projek pengurusan banjir diikuti Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (RM36.1 juta, 13 projek), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (RM9.1 juta, 16 juta) dan Majlis Perbandaran Kulai (RM5.7 juta, 15 projek).
Projek yang dilaksanakan antaranya menaik taraf kolam takungan, membangunkan empangan kecil di sepanjang parit dan meninggikan tembok parit.
“Kaedah penyelesaian isu banjir adalah berbeza di satu-satu kawasan. Selain itu, perlu juga ada pengawalan dari segi pembangunan.
“Kita dapati sepanjang tiga tahun ini, antara punca kawasan yang dahulu tidak alami banjir tetapi sekarang banjir adalah disebabkan pembangunan tidak dikawal,” katanya dalam sidang media di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di sini hari ini.
Jafni berkata terdapat keperluan untuk menambah baik syarat dan spesifikasi perparitan serta pengurusan banjir dalam kebenaran merancang seiring dengan kepesatan pembangunan dan perubahan corak hujan.
“Spesifikasi yang diberi kepada pemaju ini adalah spesifikasi yang sudah 10 tahun, 15 tahun dan tidak relevan dengan jumlah hujan yang turun sekarang yang meningkat lima atau enam kali ganda.
“Kalau kita kawal bahagian pembangunan dan kita selesaikan kawasan hotspot banjir ini, insya-Allah keadaan (banjir di kawasan PBT) itu akan dapat diselesaikan sepenuhnya,” katanya.