Bekas ahli Bersatu, isteri mohon dapat semula hak barangan, kereta mewah

Bekas ahli Bersatu, isteri mohon dapat semula hak barangan, kereta mewah

Mahkamah Tinggi membenarkan Adam Asmuni dan Lyiana Roslee kemuka bukti baharu dalam bentuk transaksi akaun bank bagi menyokong rayuan.

mahkamah kuala lumpur
Adam Asmuni dan Lyiana Roslee merayu pemulangan wang tunai, kereta, motosikal, jam tangan mewah, beg tangan, komputer riba, gelang tangan, rantai, serta akaun Amanah Saham Bhd.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menetapkan 30 Jun ini untuk mendengar rayuan bekas ahli Pemuda Bersatu dan isterinya bagi mendapatkan semula kenderaan mewah dan barangan dirampas daripada mereka ketika serbuan dadah pada 2021.

Adam Asmuni dan Lyiana Roslee merayu pemulangan wang tunai, kereta, motosikal, jam tangan mewah, beg tangan, komputer riba, gelang tangan, rantai leher, serta akaun Amanah Saham Bhd (ASB).

Hakim K Muniandy sebelum ini membenarkan permohonan Adam untuk mengemukakan bukti baharu pada perbicaraan, dalam bentuk transaksi akaun bank membabitkan syarikat percetakan pasangan itu, Percetakan Alfa Gemilang Sdn Bhd, antara 2014 dan 2019.

Peguam Amirrul Jamaluddin, yang mewakili Adam, memberitahu mahkamah bahawa dia boleh memfailkan hujahan bertulis tambahan untuk menjelaskan transaksi akaun bank sebelum tarikh perbicaraan.

Timbalan Pendakwa Raya Shahrizzat Amadan hadir mewakili pendakwaan.

Pasangan itu ditahan polis pada 20 Jan 2021. Ketika serbuan di banglo mereka di Ampang, polis turut menemui pokok ganja dan botol berisi cecair ganja.

Pasangan itu kemudian didakwa di Mahkamah Majistret Ampang atas tiga pertuduhan mengedar dan menanam ganja secara haram.

Polis kemudian memfailkan permohonan di Mahkamah Sesyen, di sini, bawah Seksyen 32(2) Akta Dadah Berbahaya (Rampasan Harta) 1988, bagi menyita barang dirampas daripada mereka.

Mereka memfailkan tuntutan pihak ketiga untuk mendapatkan semula hak milikan tetapi permohonan itu ditolak pada 2023.

Mahkamah Sesyen hanya membenarkan mereka mendapatkan wang tunai RM3,250 yang dirampas dan memerintahkan supaya RM28,513.97 daripada RM81,468,51 dalam dua akaun ASB dikembalikan kepada Lyiana.

Baki RM52,954.54 dan semua barangan lain yang dirampas disita kerajaan.

Mahkamah berkata, pasangan itu gagal mengemukakan bukti bahawa kereta BMW X5 dan BMW 328i dirampas telah dibayar oleh Percetakan Alfa Gemilang.

Ia menambah bahawa tiada bukti menunjukkan syarikat itu membuat pembayaran bulanan kepada perkhidmatan pinjaman untuk pembelian kereta tersebut.

Mahkamah juga mendapati tiada saksi memberi keterangan mengenai pembelian jam tangan mewah Lyiana daripada peruncit masing-masing, dan ahli keluarga juga tidak memberi keterangan telah memberikan hadiah berupa barang kemas kepada Lyiana dan anak perempuannya.

Mahkamah berkata, seorang akauntan bertauliah sepatutnya dipanggil memberi pernyataan sama ada Percetakan Alfa Gemilang membayar pendapatan tertangguh pasangan itu dalam akaun ASB mereka.

Adam dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, kata peguam

Selepas prosiding itu, Amirrul memberitahu pemberita Adam mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam awal tahun ini untuk mengurangkan pertuduhan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki ganja.

Beliau berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun kepada Adam, dikira dari tarikh ditangkap pada 2021 dan tujuh sebatan.

Pertuduhan Lyiana digugurkan selepas Adam mengaku bersalah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.