
Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, Wong Shu Qi, berkata kesaksamaan gender membuka potensi penuh golongan itu membentuk masa depan bagi memacu kemakmuran negara.
“TalentCorp berbangga menjadi peneraju dalam inisiatif ini, bekerjasama dengan rakan strategik untuk meruntuhkan halangan dan membina laluan yang membolehkan wanita mengimbangi kerjaya dan tanggungjawab penjagaan keluarga.
“Kerjasama ini merupakan titik perubahan penting dalam komitmen kolektif kita untuk memperkasa wanita di seluruh Malaysia,” katanya ketika melancarkan Libat Urus Tindakan Korporat Prinsip Pemerkasaan Wanita (WEPsCAL), di Kuala Lumpur.
Program itu juga menampilkan pakar Program UN Women Asia-Pasifik, Amy Baum, Ahli Ekonomi Kanan Kumpulan Bank Dunia, Shakira Teh Sharifuddin, dan Pengerusi Kelestarian dan Ekonomi Kitaran, Persatuan PKS Malaysia (Samenta), John Loh.
Inisiatif berkenaan julung kali melibatkan UN Women, LeadWomen, dan TalentCorp, dengan disokong Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia. Malaysia menjadi negara pertama daripada empat negara pelaksana melancarkan WEPs Corporate Action Lab.
UN Women, LeadWomen, dan TalentCorp yakin inisiatif itu akan memperkasakan syarikat mewujudkan tempat kerja yang lebih inklusif dan saksama, sekali gus menyumbang kepada ekonomi yang berkembang pesat dengan penyertaan penuh wanita.
Dalam pada itu, Wong berharap dapat mempercepatkan usaha mencapai kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja sebanyak 60%, menerusi pembentukan tempat kerja mesra keluarga serta memastikan peluang sama rata untuk semua wanita menyumbang.
Fokus program berkenaan kepada tempat kerja mesra keluarga turut disokong oleh kerjasama baharu UN Women dengan Asean-Business Advisory Council Malaysia, di bawah sokongan Aseab Inclusivity Collective — dijangka mencetuskan gerakan serantau memperkukuh pertumbuhan ekonomi inklusif di seluruh rantau ini.