Tak perlu tangguh subsidi bersasar RON95, kata ahli akademik

Tak perlu tangguh subsidi bersasar RON95, kata ahli akademik

Awal bulan ini, beberapa Ahli Parlimen gesa kerajaan tangguh pelaksanaan subsidi bersasar RON95 susulan kebimbangan kesan tarif tinggi AS.

petrol fuel pump
Perdana Menteri Anwar Ibrahim tekankan 85% rakyat Malaysia tidak terjejas dengan pelaksanaan subsidi bersasar RON95.
PETALING JAYA:
Seorang ahli ekonomi berpendapat tiada keperluan menangguhkan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 susulan kebimbangan kesan tarif tinggi Amerika Syarikat (AS).

Perkara itu dinyatakan Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School, mengulas gesaan beberapa Ahli Parlimen dalam sidang khas Dewan Rakyat, 5 Mei lalu berkait tarif diperkenalkan Presiden Donald Trump sebelum ditangguhkan 90 hari bermula 8 April lalu.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng antara wakil rakyat membangkitkan cadangan itu kerana bimbang kesan tarif 24% terhadap produk Malaysia ke AS bagi ekonomi Malaysia.

Bercakap kepada FMT, Ahmed Razman berkata tiada keperluan menangguhkan subsidi bersasar RON95 memandangkan majoriti dan 85% rakyat tidak terjejas dan dapat membeli bahan bakar berkenaan pada harga telah disubsidi.

“Kerajaan juga akan memperoleh penjimatan lebih banyak yang boleg digunakan membantu industri terjejas dengan pelaksanaan tarif AS.

“Bagi tarif elektrik, kerajaan boleh melaksanakan inisiatif fiskal untuk membantu industri terjejas,” katanya yang turut mengulas gesaan menangguhkan pelarasan tarif elektrik mulai Julai depan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun ini.

Namun beliau menekankan 85% rakyat Malaysia tidak akan terjejas.

Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia pula berpendapat penangguhan susbsidi RON95 selama enam bulan mungkin menyebabkan negara mungkin hilang peluang berjimat RM2.5 bilion.

Menurutnya, kerajan mungkin mampu demikian mengambil kira kedudukan kewangan lebih baik selain trend penurunan minyak mentah dunia daripada USD80 setong pada tahun lalu dan kini USD63.

Jelasnya, penurunan itu mungkin mengurangkan beban perbelanjaan kerajaan bagi menanggung subsidi bahan bakar terbabit.

“Namun tangguh-menangguh ini akhirnya tidak akan mendatangkan kesan positif memandangkan kerajaan telahpun menunggu lebih 15 tahun untuk melaksanakan subsidi bersasar ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.