Pelabur JS-SEZ setuju tawar gaji premium bermula RM3,500

Pelabur JS-SEZ setuju tawar gaji premium bermula RM3,500

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata majoriti pelabur menyatakan persetujuan terhadap hasrat itu.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata pelabur turut menetapkan dua syarat utama iaitu produktiviti tenaga kerja dan kemahiran teknikal seiring dengan kadar gaji ditawarkan. (Gambar Bernama)
ISKANDAR PUTERI:
Pelabur asing di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menyatakan persetujuan untuk menawarkan gaji premium bermula RM3,500 kepada tenaga kerja tempatan.

Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, berkata persetujuan itu dicapai hasil perbincangan melalui Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) dan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dengan pelabur.

“Perkara utama dibincangkan adalah kita menggalakkan keperluan menetapkan gaji minimum untuk pemegang diploma sekitar RM3,500 ke atas dan bagi pemegang ijazah pula mesti memperoleh gaji RM4,000 ke atas.

“Alhamdulillah, saya ingin maklumkan bahawa majoriti pelabur yang memilih untuk melabur di Johor menyatakan persetujuan terhadap hasrat ini,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Zulkarnain Kamisan (BN-Sri Medan) mengenai syarat ditetapkan kerajaan negeri kepada pelabur luar berkaitan pengambilan pekerja tempatan dan penetapan tangga gaji setara atau hampir setara dengan Singapura.

Bagaimanapun Onn Hafiz berkata pelabur menetapkan dua syarat utama iaitu produktiviti tenaga kerja dan kemahiran teknikal seiring dengan kadar gaji ditawarkan.

Berhubung pengambilan pekerja tempatan, beliau berkata di peringkat Persekutuan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) telah menetapkan syarat komposisi tenaga kerja terdiri daripada 80% pekerja tempatan dan 20% pekerja asing dalam sektor pembuatan.

Selain itu, Onn Hafiz memaklumkan pada pertemuannya dengan wakil sebuah syarikat dari China semalam, beliau dimaklumkan bahawa syarikat itu telah melabur RM500 juta di Johor bagi fasa pertama dengan pelaburan tersebut dijangka mencecah sehingga RM3 bilion dalam beberapa fasa seterusnya.

“Mereka (syarikat pelabur dari China) menyatakan komitmen untuk mendapatkan tenaga kerja mahir tempatan dan mereka juga bersetuju menubuhkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

“Ini merupakan antara usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan ekonomi Johor turut memberi manfaat langsung kepada rakyat, terutamanya dari segi peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada anak tempatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.