
Setiausaha Agung Fuziah Salleh berkata, sebelum itu pengundian pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Pemuda, dan Wanita bagi sesi 2025-2028 akan diadakan pada Jumaat ini, bermula 8 pagi hingga 5 petang.
Beliau berkata, proses pengundian itu akan melibatkan lebih 30,000 perwakilan.
“Daripada jumlah itu, ia melibatkan lebih 9,000 perwakilan yang akan mengundi secara fizikal manakala selebihnya akan mengundi secara dalam talian,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya, pengundian fizikal bagi perwakilan yang hadir pada kongres itu akan berlangsung di Berjaya Waterfront Hotel dan Pusat Konvensyen Danga Bay, Johor Bahru.
Bagi Sabah dan Sarawak, pengundian fizikal akan berlangsung di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) di Penampang serta Pusat Konvensyen Penview di Kuching, sementara perwakilan biasa dan perwakilan tambahan bagi kongres pusat, Pemuda pusat serta Wanita pusat tidak perlu hadir secara fizikal kerana pengundian dilakukan secara dalam talian pada tarikh dan masa sama menerusi aplikasi Adil.
Menyentuh mengenai calon, Fuziah berkata tiada sebarang bantahan diterima daripada calon bertanding selepas selesai sesi pencalonan yang berlangsung dua hari bermula 8 Mei, manakala proses bantahan pencalonan dibuka selama dua hari sehingga 11.59 malam, 12 Mei.
Pada 10 Mei, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Dr Zaliha Mustafa, berkata seramai 251 calon telah menawarkan diri bertanding dalam pemilihan PKR peringkat pusat bagi sesi 2025-2028.
Beliau berkata, jumlah itu merangkumi 104 pencalonan bagi MPP, 85 calon bagi Pemuda, dan 62 bagi Wanita.
Proses pencalonan pemilihan parti menyaksikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak dicabar bagi jawatan presiden manakala jawatan timbalan presiden menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Izzah Anwar dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli selaku penyandang.
Bagi jawatan naib presiden pula, 12 ahli telah mengemukakan pencalonan masing-masing termasuk empat penyandang iaitu Nik Nazmi Nik Mat (menteri sumber asli dan kelestarian alam), Chang Lih Kang (menteri sains, teknologi dan inovasi), Aminuddin Harun (menteri besar Negeri Sembilan), dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Muhammad Kamil Abdul Munim yang juga setiausaha politik kepada menteri kewangan turut tidak dicabar bagi jawatan ketua Pemuda, manakala jawatan ketua Wanita PKR menyaksikan pertembungan satu lawan satu, antara Fadhlina Sidek yang juga menteri pendidikan dengan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail.
Kongres Nasional PKR termasuk Kongres Pemuda dan Kongres Wanita dijadual berlangsung dari 22 hingga 24 Mei di Johor Bahru.