‘Kamu sepatutnya pendamai’, Pemuda PKR bidas calon timbalan ketua

‘Kamu sepatutnya pendamai’, Pemuda PKR bidas calon timbalan ketua

Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang Muhammad Fadzli Roslan berkata Arshad Hassni tidak perlu menambahkan lagi kehangatan kempen pemilihan.

Muhammad Fadzli Roslan dan Arshad Hassni
Muhammad Fadzli Roslan berkata lebih murni jika Arshad Hassni boleh menjadi pendamai atau penyejuk kepada calon bertanding.
PETALING JAYA:
Pemimpin Pemuda PKR membidas tindakan calon timbalan ketua sayap itu, Arshad Hassni, yang cuba ‘menormalisasikan’ budaya menyerang peribadi ketika berkempen pemilihan parti termasuk mempertahankan ‘cara’ Rafizi Ramli.

Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang, Muhammad Fadzli Roslan, berkata Arshad sebagai pemimpin muda sepatutnya menjadi pendamai kepada calon bertanding bukan menambahkan lagi kehangatan kempen sedang berjalan.

“Arshad perlu lebih berhati-hati dalam memberi respons terhadap kenyataan dikeluarkan mengenai cara kempen Rafizi. Lebih murni jika Arshad boleh menjadi pendamai atau penyejuk kepada calon bertanding,” katanya kepada FMT.

Ahad lalu, Arshad mengingatkan ahli PKR tidak membawa budaya ‘politik hati tisu’ apabila menganggap teguran sebagai satu bentuk serangan peribadi.

Katanya, kritikan daripada Rafizi seharusnya dilihat sebagai dorongan untuk penambahbaikan dan bukan disambut dengan kenyataan defensif.

Beliau mengulas tindakan sekumpulan calon bagi jawatan sayap Pemuda PKR, yang menyatakan rasa kecewa dengan Rafizi kerana didakwa menyerang calon ketua Muhammad Kamil Abdul Munim.

Rafizi sebelum ini turut mempersoalkan ketiadaan pencabar Kamil, yang juga setiausaha politik Anwar Ibrahim bagi jawatan ketua Pemuda PKR.

Sementara itu, Fadzli berkata kritikan Rafizi yang juga timbalan presiden PKR kemudian disokong Arshad bukan sahaja mengundang kehangatan kempen pemilihan malah berisiko membawa perbalahan antara kedua-dua penyokong.

“Teguran boleh dibuat melalui pelbagai saluran termasuk secara dalaman atau mesyuarat parti. Teguran secara terbuka ini bukan sahaja mengundang kehangatan suhu pemilihan malah boleh mengundang perbalahan.

“Bagi saya jika nak sebut soal hati tisu, Rafizi lebih lembut dari tisu memandangkan sehingga ada berita ura-ura meletakkan jawatan menteri dan juga bercuti sebelum ini. Namun, tidak pula pimpinan menyerang secara terbuka,” katanya yang juga calon ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMK).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.