Anggota tentera didakwa 5 tuduhan rogol, amang seksual remaja

Anggota tentera didakwa 5 tuduhan rogol, amang seksual remaja

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.

Mahkamah Majistret Ayer Keroh
Mohamad Zulfikar Ishak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas lima tuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 13 tahun. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang anggota tentera didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas lima tuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 13 tahun.

Tertuduh, Mohamad Zulfikar Ishak, 32, yang juga seorang bapa tiga anak bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Haderiah Siri, lapor Berita Harian.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa merogol mangsa serta dua perbuatan amang seksual fizikal terhadap mangsa.

Bagi pertuduhan rogol, dakwaan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Dakwaan bagi kesalahan amang seksual pula dibuat mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan..

Mengikut pertuduhan keempat, dia disyaki melakukan pengantunan terhadap kanak-kanak sama dengan cara berkomunikasi melalui telefon untuk mendorongnya melakukan aktiviti bersifat seksual dan melanggar Seksyen 12 AKSTK 2017, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun dan boleh disebat.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 13 AKSTK 2017 kerana berjumpa mangsa selepas pengantunan terhadapnya dengan menjemput dan membawanya keluar dari asrama menaiki kereta.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga disebat jika disabitkan kesalahan.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam kereta Perodua Viva di kawasan parkir kenderaan sebuah pasar raya di Cheng, kira-kira 1 tengah hari, 4 Mei lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan jaminan RM90,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali serta tidak boleh mengganggu mangsa dan keluarganya serta saksi pendakwaan.

Peguam SS Amritpal Singh bagaimanapun memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan tertuduh berkhidmat sebagai tentera sejak 10 tahun lalu dan tiada kebarangkalian melarikan diri selain penyara tunggal keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan.

Kes akan disebut semula pada 26 Jun depan untuk serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.