Agong kurnia surat cara pelantikan 3 hakim

Agong kurnia surat cara pelantikan 3 hakim

Lee Swee Seng dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan manakala Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Lim Hock Leng dilantik hakim Mahkamah Rayuan.

Sultan Ibrahim
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengurniakan suratcara pelantikan hakim Mahkamah Persekutuan kepada Lee Swee Seng di Istana Negara hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap dan mengurniakan surat cara pelantikan kepada tiga hakim di Istana Negara.

Istiadat yang berlangsung di Singgahsana Kecil Istana Negara itu dimulakan dengan pengurniaan surat cara pelantikan kepada Hakim Mahkamah Persekutuan Lee Swee Seng.

Baginda turut berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada dua Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Lim Hock Leng.

Antara yang turut hadir menyaksikan istiadat berkenaan ialah Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Hasnah Mohammed Hashim serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli.

Turut hadir Peguam Negara Dusuki Mokhtar, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed Danial Syed Ahmad, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Zamri Bakar serta Setiausaha Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Salinah Ismail.

Lee sebelum ini adalah Hakim Mahkamah Rayuan, manakala Hayatul Akmal dan Lim masing-masing Hakim Mahkamah Tinggi sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.

Selesai pengurniaan surat cara pelantikan, Sultan Ibrahim bergambar bersama hakim-hakim yang baru dilantik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.