26 tahun tak bayar sewa RM39,000, DBKL ‘bertindak’ minggu depan

26 tahun tak bayar sewa RM39,000, DBKL ‘bertindak’ minggu depan

Tunggakan sewa projek perumahan rakyat dan perumahan awam kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kini mencecah RM70 juta.

ppr
Datuk Bandar Kuala Lumpur Maimunah Mohd Sharif berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan minggu depan bagi menyelesaikan isu tunggakan sewa projek perumahan rakyat dan perumahan awam.
PETALING JAYA:
Ada penyewa perumahan awam (PA) gagal membayar sewa selama 26 tahun dengan tunggakan mencecah RM39,140, dedah Datuk Bandar Kuala Lumpur Maimunah Mohd Sharif.

Beliau berkata, kadar sewa ditetapkan adalah RM124 sebulan tidak termasuk caj penyelenggaraan dengan kawasan tertinggi tunggakan dicatatkan di projek perumahan rakyat (PPR) Kampung Muhibbah (RM1.9 juta) dan PPR Desa Rejang (RM1.28 juta).

Maimunah Mohd Sharif
Maimunah Mohd Sharif.

Katanya, bagi menyelesaikan isu tunggakan sewa PPR dan PA kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang kini mencecah RM70 juta, pihaknya akan mengadakan perbincangan secara dalaman terlebih dahulu minggu depan.

“Saya akan tengok…sebab langkah-langkah yang kita buat sekarang, kita akan semuka dengan penyewa, tanya kenapa tak bayar dan kita kunci meter air mereka.

“Kita ada kuasa keluarkan mereka dari unit kalau tak bayar tapi mereka ini B40, jadi kita tengok macam mana. Jadi, saya akan buat satu analisis dan bincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, antara alasan diberikan penyewa yang gagal membayar sewa adalah kekurangan dana.

“Tapi kalau kita ke kawasan mereka, mereka mengadu tempat letak kereta tak cukup…saya faham kereta ini bukan kemewahan tapi kemestian, keperluan.

“Mereka kena lihat kepada keutamaan, pada masa ini kita tak ambil tindakan tegas jadi ada ruang mereka tak bayar,” katanya.

Sementara itu, Maimunah berkata menerusi perbincangan diadakan kelak, pihaknya akan merangka prosedur lebih jelas berkaitan topik perumahan dan tunggakan.

Katanya, DBKL juga akan menguar-uarkan kepada penghuni yang berhutang supaya tidak terkejut dengan tindakan dilaksanakan.

“Sebab bila kita kunci air, mereka boleh bayar. Sebelum ini kita juga dah buat program, kalau mereka tak boleh bayar terus, boleh bayar secara ansuran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.