2 lelaki cuba seludup syabu RM10 juta ikut jalan laut ditahan

2 lelaki cuba seludup syabu RM10 juta ikut jalan laut ditahan

Warga tempatan dipercayai bawa 12 guni dadah menggunakan bot gentian kaca sebelum dikesan dari perairan Sungai Ayam, Batu Pahat.

kama azri kamil
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Johor Kama Azri Kamil (tengah) bersama dua pegawai kanan menunjukkan rampasan dadah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Cubaan dua lelaki menyeludup keluar 300kg syabu bernilai RM10 juta menggunakan jalan laut gagal selepas kegiatan mereka berjaya dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jumaat lalu.

Warga tempatan itu dipercayai membawa 12 guni dadah menggunakan bot gentian kaca sebelum pergerakan mereka dikesan pihak berkuasa pada kedudukan 0.8 batu nautika dari perairan Sungai Ayam, Batu Pahat, pada 1 pagi.

Menurut Timbalan Pengarah Operasi Maritim Johor, Kama Azri Kamil, mereka sebelum ini menerima maklumat hasil risikan berhubung pergerakan sebuah bot asing dalam keadaan mencurigakan di perairan terbabit.

Katanya, sebuah bot kemudian digerakkan ke lokasi untuk pemantauan dan mengesan bot terbabit.

“Sebaik menyedari kehadiran bot kami, kedua-dua suspek memecut ke kawasan cetek dan meninggalkan bot sebelum melarikan diri ke dalam hutan paya bakau berhampiran.

“Hasil pemeriksaan dalam bot terbabit, kita menemui 12 guni mengandungi plastik berisi serbuk kristal dengan anggaran berat bagi setiap guni adalah 25kg.

“Kesemua dadah dan bot dirampas kemudian dibawa ke pangkalan APMM untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media hari ini, menurut Berita Harian.

Tambahnya, mereka percaya semua dadah terbabit cuba diseludup keluar untuk dihantar kepada sindiket sebelum dipasarkan di negara lain.

“Berdasarkan laporan awal, sindiket itu menjadikan negara ini sebagai tempat pemprosesan dadah.

“Dadah yang dirampas akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.