2 remaja ditahan dipercayai ugut sebar video bogel rakan

2 remaja ditahan dipercayai ugut sebar video bogel rakan

Kedua-dua suspek berusia 18 tahun yang didapati positif dadah jenis THC telah direman empat hari.

Azam Ismail
Ketua Polis Ampang Jaya Mohd Azam Ismail berkata, kedua-dua suspek ditahan di Ampang pada Ahad lepas. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua remaja lelaki ditahan kerana disyaki mengugut seorang rakan mereka supaya membayar sejumlah wang jika tidak mahu video bogel mangsa bersama teman wanitanya tersebar.

Ketua Polis Ampang Jaya Mohd Azam Ismail berkata, kedua-dua suspek berusia 18 tahun itu ditahan di Ampang pada Ahad lepas.

Tiga telefon bimbit turut dirampas bagi membantu siasatan, tambahnya.

“Siasatan mendapati mangsa menerima pesanan WhatsApp daripada rakan yang dikenalinya pada 11 April lepas, mengugut dengan meminta wang. Mangsa kemudian membayar RM2,800 secara ansuran.

“Suspek juga ada meminta lagi sejumlah wang tunai RM1,000, mendorong mangsa membuat laporan polis,” katanya, lapor Bernama.

Mohd Azam berkata, saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis THC, manakala seorang mempunyai empat rekod jenayah lampau, termasuk berkaitan dadah.

Kedua-dua suspek direman empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan serta Seksyen 292 akta sama kerana memiliki bahan lucah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.